Pages

Wednesday, April 28, 2010

Bahaya sampah di dalam minda



Oleh - Norden Mohamed

Seketika tadi, saya melayari internet. Tiba-tiba saya terpandang nama Stamford di dalam sebuah artikel. Lalu terus teringatkan Stamford Raffles, seorang pentadbir British yang dikenali sebagai ‘Bapa Singapura’. Saya masih ingat, Stamford Raffles menemui Singapura pada tahun 1819. Saya menghafal tahun beli:au menemui Singapura untuk matapelajaran Sejarah peperiksaan untuk pelajar Tingkatan Tiga - peperiksaan yang setaraf dengan PMR pada hari ini. 

Saya termenung. Mengapa saya masih mengingati tahun Stamford Raffles menemui Singapura setelah 38 tahun berlalu? Ya, saya tahu yang saya telah menghafal dan ingat akan tahun 1819 itu. Tetapi peperiksaan itu telah lama berlalu. Maklumat itu berguna buat saya dahulu kerana ia memberi sekurang-kurangnya satu markah di dalam peperiksaan matapelajaran sejarah. 

Kini, maklumat itu sudah tidak berguna lagi. Buat apa saya menyimpan maklumat yang tidak berguna ini? Malangnya, saya tidak boleh membuangnya kerana ia sudah tersimpan di memori saya. Maklumat yang saya kutip pada tahun 1972 nampaknya akan kekal di sepanjang hayat. 

Maklumat Stamford Raffles menemui Singapura pada tahun 1819 adalah satu di antara beribu-ribu lagi maklumat yang tidak berguna tetapi tidak boleh dibuang daripada ingatan saya. Apabila sesuatu itu tidak berguna, ia menjadi sampah, sedangkan bukankah sampah itu perlu dibuang? 

Sepengetahuan saya, belum ada alat yang dicipta untuk membuang maklumat yang sudah terakam di dalam minda. Kalaulah ada perisian untuk memadam maklumat seperti di dalam memori komputer, tentu sekali saya membeli alat itu. Sebabnya, saya ingin membuang beribu-ribu maklumat yang sudah lapuk atau tidak berguna daripada memori saya. 

Namun, sampah di dalam minda akan tersimpan sampai bila-bila melainkan jika kita gila atau sengaja menghantuk kepala ke batu untuk mengalami amnesia, iaitu lupa ingatan. Inilah bahayanya. Bagaimana saya hendak membuang ingatan yang saya ini berbintang Gemini? Dahulu, saya seronok membaca bintang 12. Setelah tahu ia tahyul, saya mahu melupakannya. 

Saya pernah percaya jika saya duduk di atas bantal, saya akan mendapat bisul. Saya pernah percaya yang saya tidak boleh berfoto bersama tiga orang. Andai dilakukan, salah seorang dari kami akan mati. Saya pernah percaya, jika saya tidak menjamah makanan yang terhidang sebelum berjalan jauh, saya akan kemalangan. Saya akan jilat tapak tangan andainya saya tak sempat menjamah hidangan itu. Kesemuanya tidak betul. 

Senarai sampah-sampah di minda ini begitu panjang. Kini, teknologi maklumat dan media menghujani kita pula dengan pelbagai sampah fikiran. Sebaik sahaja ia termasuk ke dalam minda, ia akan melekap dan tidak boleh lagi dibuang dengan apa cara sekali pun. 

Kita didodoi dengan cerita-cerita fitnah dan kita melihat orang yang memfitnah itu lalu terpengaruh. Sebaik sahaja kita percaya tanpa memeriksa kesahihannya, sampah fitnah itu akan terpahat di fikiran. Maka berdosalah kita kerana mempercayai pembohongan. 

Kita dihidangkan dengan hiburan yang tidak menambah kepandaian diri dan meningkatkan budi. Malah, ia memerosot dan meruntuh fikiran. Ia adalah sampah kerana kita tidak menjadi lebih bijak selepas menikmati hiburan itu. Bagaimana pun, oleh kerana ia disukai oleh ramai orang, kita tidak berasa ia tidak berguna. Tanggapan inilah yang akan menumpul daya berfikir. 

Pancaindera kita sentiasa terdedah dengan pelbagai bentuk sampah. Kita perlu peka dan bersedia untuk menyaring atau menepis sama sekali apa sahaja yang sampai terutamanya melalui pendengaran dan penglihatan. Hanya dengan cara itu, fikiran kita akan sentiasa tajam untuk melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat, mengenali mana yang hak, mana yang batil; dan membezakan mana yang fakta, mana yang fitnah. 

La rai bafih. Tidak ada keraguan baginya. 

Layari http://www.maafcakap.blogspot.com untuk membaca artikel-artikel sebelum ini.

No comments:

Post a Comment