Pages

Sunday, February 21, 2010

Memali semarakkan tentangan terhadap ISA

Date: Saturday, August 01 @ 18:00:00 SGT
Topic: Artikel

Oleh Norlaila Othman

"SUAMI ketika itu sedang berdiri dan apabila terkena tembakan, beliau terjatuh ke atas lantai. Mak Lang angkat kepalanya dan letak atas riba. Darah segar memenuhi ruang tamu rumah Ustaz Ibrahim Libya. Suami menghembuskan nafas terakhirnya di riba Mak Lang," kata Aishah Ahmad, 56, balu kepada Maaruf Hashim salah seorang yang syahid dalam peristiwa berdarah Memali pada bulan November 1985.

"Mak Lang tak tahu apa yang terjadi kepada mayat suami selepas itu. Mak Lang bersama anak dan beberapa isteri syuhada yang lain dibawa ke Pejabat UTK Tanjung Pari. Di sana, Mak Lang disoal siasat selama 18 hari.

"Selama di sana, Mak Lang pernah disoal siasat hingga enam jam sehari. Selesai disoal siasat, Mak Lang dihantar ke bilik kurungan. Mak Lang ditahan bersama anak perempuan, Mariza yang pada masa itu berusia 15 tahun. Selepas 18 hari di Tanjung Pari, Mak Lang dihantar ke PPH Sungai Petani dan dipenjara selama dua bulan.

"Selepas dua bulan, kami dibebaskan dari PPH Sg Petani, barulah Mak Lang pulang ke Memali untuk bertemu anak-anak lain yang ditinggalkan dan menziarahi perkuburan arwah suami," ujar beliau lagi yang dikurniai lima anak bersama suaminya, Assyahid Maaruf.

Terkial-kial

Begitu lancar Aishah @ Mak Lang bercerita mengenai pengalamannya membuatkan saya terkial-kial mencatat setiap butir bicaranya. Setelah segalanya yakin dicatat, saya mengangkat kepala, melihat pada wajah beliau dan kelihatan air mata bergenang di kelopak mata yang sudah berusia itu.

Walaupun peristiwa itu hampir 24 tahun berlalu, saya dapat merasakan seolah-olah ia baru berlaku semalam ...

Itu adalah salah satu testimoni yang saya perolehi ketika melawat keluarga mangsa berdarah Memali yang berlaku pada 1985. Ketika itu, saya masih terlalu muda dan tidak begitu ambil berat untuk mengetahui siapakah yang benar dan siapakah yang zalim dalam peristiwa itu.

Cuma yang masih saya ingat, media kerajaan mendakwa mereka adalah pesalah dan penderhaka. Ketika itu tiada media alternatif, tanpa internet atau SMS. Memang amat sukar untuk diketahui, apakah dan siapakah yang menjadi punca pembunuhan beramai-ramai itu.

Cuma yang jelas bagaimana gas pemedih mata, kereta perisai, beberapa trak polis dikerahkan dengan lengkap bersenjata boleh sewenng-wenangnya dihantar ke sebuah perkampungan terpencil di Baling itu dan mengepung sebuah rumah kecil milik seorang ustaz yang hanya menyampaikan ajaran Islam kepada masyarakat di sekelilingnya.

Siapakah yang empunya gas pemedih mata, kereta perisai, trak polis, polis dan segala senapang yang digunakan di kejadian itu?

Saya tidak pernah berpeluang mengetahui jauh sekali mengenali lelaki bernama Ibrahim Libya ini yang menjadi tajuk utama perbualan penduduk Memali. Namun berdasarkan penceritaan dan beberapa penulisan ringkas mengenainya, saya dapat simpulkan bahawa beliau seorang berpendidikan tinggi dalam bidang agama, bijak dalam penyampaian kelas-kelas dikendalikannya, berkarisma, berkepimpinan dan beliau amat disenangi oleh sebahagian besar ahli masyarakat setempat.

Berdasarkan daripada beberapa pondok (asrama) yang didirikan di sekitar surau yang terletak tidak jauh dari rumahnya, dapat disimpulkan beliau adalah seorang aktivis muda yang bercita-cita tinggi untuk melihat ramai anak bangsa di daerah itu mempelajari dan menghayati Islam dengan sebaiknya.

Sebagai seorang graduan dari Libya dan pernah bertugas di Pusat Islam, saya yakin, kedudukan beliau ketika itu bukan setakat dikasihi tetapi juga dipandang tinggi dan amat dihormati.

Berdasarkan pembacaan juga, saya melihat kepimpinan, keperibadian, kebijaksanaan dan kegiatan beliau telah membuatkan ada pihak lain yang tidak senang dengan perkembangan tersebut dan ingin mencantas atau mematikan saja segala bakat yang dimiliki itu dengan menahan beliau di bawah ISA.

Tamatkan bakat

Sebelum kes Ibrahim Libya, sudah ada pemimpin PAS yang ditahan tanpa bicara lebih awal, antaranya Dr Burhanuddin Helmi. Tidak mustahil, alat yang sama iaitu ISA, digunakan terhadap Ibrahim Libya untuk menamatkan bakat dan kepimpinan politik beliau.

Keengganan beliau menyerah diri kepada pihak berkuasa telah menjadikan penguasa ISA merasa tercabar status quonya dan akhirnya bertindak ke atas Asy-syahid dan para pengikutnya menggunakan kekerasan.

Apabila menyelami isu Ibrahim Libya dan pembunuhan beramai-ramai di Memali ini, saya teringat peristiwa penahanan Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 1998 di mana beliau dengan tegas menunjukkan sikapnya melawan tindakan kerajaan yang memecatnya ketika itu.

Beliau terus melawan dan mendapat sokongan rakyat hinggalah akhirnya ditahan di bawah ISA. Ketika dalam tahanan polislah beliau dipukul hingga lebam di bahagian mata, yang menjadi 'trademark' KeADILan hingga kini.

Membandingkan isu keengganan Ibrahim Libya menyerah diri pada pihak berkuasa (tahun 1985) dengan sikap tidak mahu mengalah oleh Anwar (tahun 1998) nampaknya polis telah mempelajari sesuatu daripada peristiwa Memali.

Mereka tidak menyerang rumah Anwar sebaliknya memburu dan menangkap beliau ketika dalam perjalanan pulang daripada satu program ceramah yang mengajak rakyat bangun untuk menuntut 'reform' atau pembaharuan.

Sekiranya Menteri Dalam Negeri, polis pada tahun 1985 itu bersabar sedikit, mungkin peristiwa berdarah Memali dapat dielakkan...

Sewaktu menziarahi mangsa pembunuhan beramai-ramai di Memali baru-baru ini, fokusnya bukan siapa atau bagaimana peristiwa itu terjadi, tetapi saya terlalu ingin mendapatkan reaksi mangsa yang juga merupakan penduduk setempat, bagaimanakah pandangan mereka terhadap kerajaan Umno-BN yang seolah-olah melihat nyawa rakyat marhaen ini tidak bernilai sama sekali.

"Setelah suami kami dikebumikan, ada pihak yang membantu kami supaya menyaman kerajaan disebabkan kematian suami kami itu. Kes itu difailkan pada 1986 dan terpaksa melalui fasa yang lama untuk mendapat keputusannya.

Masih menyusu

"Alhamdulillah, pada tahun 2004, tiga peguam yang mewakili kes tersebut telah berjaya memenangi perbicaraan," kata Rokiah Mohd Hassan, balu kepada Asy-syahid Mohd Rezki Ahmad, berusia 27 tahun ketika kejadian. Selepas pembunuhan suaminya, Rokiah dan seorang anak kecil yang masih menyusu juga turut ditahan di penjara selama dua minggu.

"Mak Pah sedang mengandung empat bulan ketika suami ditembak di rumah Ustaz Ibrahim Libya. Kami semua berada dalam keadaan 'curfew' hampir dua bulan. Kami cuma boleh keluar rumah untuk mencari rezeki dan memotong getah dari jam 9 pagi hingga 6 petang. Mak Pah dan semua penduduk di sekitar Memali tidak tahu apa yang terjadi kepada 14 orang yang telah ditembak hingga mati itu.

"Alhamdulillah aktivis PAS dan penduduk dari kampung lain telah datang ke Memali untuk melakukan urusan pengkebumian mereka," tambah Mak Pah yang nama sebenarnya Siti Maryam binti Omar kepada aku. Sebaik saja tamat menceritakan kisah duka Memali, beberapa titik air mata gugur di wajah yang mula dimamah usia itu.

"Pada tahun 2004, kami menang kes pembunuhan di Memali. Kes itu berjalan hampir 18 tahun. Pihak kerajaan membayar pampasan RM20,000 kepada 14 keluarga syuhada. Maknanya, hampir 20 tahun selepas suami kami ditembak dengan kejam, kerajaan menilai nyawa suami sebanyak RM1,000 setahun. Sungguh rendah nilai nyawa mereka di sisi kerajaan BN!" kata Siti Aishah @ Mak Lang sambil mengesat matanya. Beliau tidak mahu mengulas panjang.

"Suami saya yang ditahan ISA pada 2002, ikut saja perintah dan arahan kakitangan KDN dan Menteri Dalam Negeri, hingga kini masuk lapan tahun ditahan di Kem Kamunting. Jika ditahan di bawah ISA, mangsa dikurung tanpa bicara bertahun-tahun lamanya. Jika enggan ditahan di bawah ISA jadilah macam kes Asy-syahid Ibrahim Libya, mangsa terus kena tembak, rakyat tiada nilai di mata kerajaan Umno-BN," kata saya kepada semua Muslimat yang hadir di rumah Siti Aishah.

Semua tetamu wanita itu terkejut dan mula tersenyum. Salma Ismail, Ketua Wanita KeADILan Kedah dan timbalannya, Nurin yang menemani lawatanku ke Memali juga turut tersenyum melihat riak wajah mereka yang sejak dari awal kelihatan agak serius ketika bercakap denganku.

Mereka tidak sangka, saya adalah isteri kepada seorang tahanan ISA kerana sejak awal saya melangkah masuk ke ruang tamu rumah Siti Aisyah @ Mak Lang saya hanya sibuk bertanya soalan, mencatat fakta, merekod perbualan dan mengambil gambar tiga wanita balu mangsa pembunuhan di Memali itu. Mereka menyangka saya seorang wartawan Harakah!

Sebaik selesai mencatat fakta-fakta penting, saya dibawa melawat kesan-kesan peristiwa itu. Dua puluh empat tahun peristiwa itu berlalu dan banyak pembangunan dilakukan hingga menghilangkan struktur asas rumah, surau dan pondok yang dibina oleh Ibrahim Libya dan teman-teman rapatnya.

Namun kesan peluru yang menembusi dinding sebuah rumah kecil untuk menyimpan padi, dapat menggambarkan bagaimana rakus dan ganasnya polis menembak Ibrahim Libya dan teman-teman setianya pada waktu Subuh pada November 1985.

Sesiapa saja yang berada di Memali ketika itu, pasti tidak dapat melupakan drama hebat pembunuhan beramai-ramai yang begitu kejam dan tragis!

Debat secara terbuka

Kisah Memali juga mendapat tempat di minda penulis sejarah ISA berbangsa Cina. Dalam buku '45 Years Under ISA' Koh Swe Yong menyebut: "... pada 1985, peristiwa Memali menyaksikan ramai aktivis PAS ditahan di bawah ISA. Peristiwa itu mengubah persepsi PAS yang selama ini memandang sepi isu ISA, dan mereka mula mengkritik serta menentang akta zalim itu. "

Kritikan itu diluahkan dalam berbagai bentuk, di mana saja ada peluang bercakap atau debat tentang ISA, PAS segera menyuarakan secara terbuka supaya ISA segera dimansuhkan."

Kini, 24 tahun selepas Peristiwa Berdarah Memali, rakyat semakin faham dan jelas tentang kejahatan dan kezaliman akta tanpa bicara yang menjadi nadi utama Umno untuk memastikan parti reput itu terus bertahan. Sejarah telah membuktikan, semua Perdana Menteri Malaysia, amat gemar menggunakan ISA untuk mencantas pihak lawan.

Dan mutakhir ini, kegunaan ISA juga dipelbagai. Selain menjadikan mangsanya sebagai 'pengganas Islam', ISA juga digunakan untuk melabel 'pembuat syiling palsu', 'pembuat Mykad', 'penghantar SMS', 'menyelamatkan wartawan wanita' dan pelbagai lagi.

Penulisan ini hanya berkisar kepada mangsa ISA daripada bangsa Melayu dan berugama Islam. Bagaimana dengan bangsa lain? Bagaimana dengan kaum Cina dan India?

Sejak 49 tahun yang lalu, semua bangsa dan pelbagai peringkat usia dijadikan mangsa ISA, adakah rakyat Malaysia masih terus bersabar dan membiarkan pemerintah menggunakan ISA sesuka hati mereka saja?

No comments:

Post a Comment