Pages

Sunday, February 21, 2010

Isteri-isteri mangsa ISA Sabah tekad berjuang bebaskan suami

SANDAKAN, 16 Feb 2007 (Hrkh) – Berat mata memandang
berat lagi bahu memikul, mungkin itulah ungkapan yang
amat sinonim dengan apa yang dideritai sejak sekian
lama oleh empat belas orang isteri tahanan ISA dari
Sabah.

Yang pasti, apa yang dideritai itu turut dikongsi oleh
anak-anak kecil mereka yang masih lagi tidak memahami
erti sebuah kehidupan sebenar. Mahu atau tidak
kehidupan harus diteruskan walaupun tiada insan yang
bergelar suami di sisi.

Setiap keluarga mangsa, setiap waktu dan ketika pula,
tidak pernah jemu-jemu menadahkan tangan ke hadrat
Ilahi agar diberi kekuatan iman dan kesabaran
menghadapi ujian seperit itu di samping disusuli
harapan yang menggunung tinggi suatu hari nanti pasti
dapat bertemu dengan suami masing-masing sebaik
dibebaskan.

Namun soalnya, bilakah tarikh keramat itu menjelma,
masih menjadi tanda tanya.

Walaupun begitu, mereka tidak bersendirian mengharungi
ujian getir itu apabila Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)
dengan kerjasama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan
Dewan Muslimat PAS Pusat (LKK DMPP) dan Lajnah
Kebajikan Dewan Muslimat PAS Sabah (LK DMPS)mengadakan
program khas bersama mereka dekat sini baru-baru ini.

Antara matlamat program itu diadakan selain merapatkan
lagi hubungan silaturrahim, ia juga bertujuan
mendapatkan maklum balas mengenai kegiatan dan
perancangan program bersama pada masa-masa akan
datang.

Selain itu, menyelaras kegiatan bersama GMI di Sabah,
bagi menjaga kebajikan isteri-isteri dan keluarga
mangsa ISA Sabah itu turut diberi perhatian.

Antara Ahli Jawatankuasa dari GMI yang hadir ialah
Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh Al-Habsih, Latifah
Koya (AJK, Peguam), Ustazah Norlaila Othman (AJK,
Isteri tahanan ISA) dan Normah Ismail (AJK, Isteri
tahanan ISA).

Sementara wakil daripada DMPP, Ustazah Nuridah Mohd
Salleh Pengerusi LKK DMPP merangkap Ketua Dewan
Muslimat PAS Wilayah Persekutuan dan AJK GMI, Wan
Hasrina Wan Hassan Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor
dan tiga orang Ahli jawatankuasanya.

Manakala bagi pihak DMP Sabah diwakili oleh Pn
Noramalina Ahmad Ajk DMP Sabah merangkap Ketua DMP
Kawasan Sandakan dan beberapa orang lagi ahli
jawatankuasanya.

Program yang berlangsung selama dua hari itu diisi
dengan pelbagai aktiviti antaranya ialah pameran
kegiatan GMI dan ilustarasi kezaliman yang dilakukan
terhadap tahanan dalam penjara, sesi dialog, ceramah
umum, lawatan ke rumah keluarga mangsa dan majlis
penyampaian bantuan kepada Isteri-isteri tahanan dan
fakir miskin.

Daripada empat belas keluarga tahanan itu, tujuh
daripada mereka ditahan sejak tahun 2002 lagi atas
tuduhan terlibat dengan Jemaah Islam (JI) manakala
yang lainnya pada awal tahun lalu atas tuduhan
terlibat dengan kumpulan Darul Islam yang dikatakan
mahu mewujudkan Daulah Islamiah Nusantara.

Sebelas daripadanya berasal dari Sandakan, Tawau (2)
dan Kota Kinabalu (1).

Sebelum ini, sejak suami mereka ditahan, mereka
merasakan tiada siapa yang peduli dan tidak tahu ke
mana hendak mengadu. Perasaan bimbang dan takut
mengenai keselamatan diri dan anak-anak pula sentiasa
bermain di benak mereka. Bahkan soal makan minum,
kesihatan dan persekolahan anak-anak juga terus
menjadi bebanan fikiran.

Manakala kehadiran polis cawangan khas (SB) pula
sering mengganggu perasaan.

Mereka turut mengadu, dipujuk rayu oleh SB agar
berdiam diri dan dilarang terlibat dengan mana-mana
pergerakan jika mahu suami mereka dibebaskan lebih
awal.

Mereka juga memberitahu, SB sering mengunjungi mereka
dengan memberi bantuan kewangan, kononnya mereka juga
simpati dengan apa yang didertai oleh mereka selama
ini.

Bahkan kata isteri-isteri tahanan tersebut, masyarakat
persekitaran termasuk teman-teman dan keluarga sendiri
yang tidak memahami perkara sebenar seolah-olahnya
memandang serong dan tidak mengambil peduli hal ehwal
mereka.

“Kami jadi bingung dan amat tertekan dengan keadaan
ini.

“Banyak lagi perkara yang harus kami fikirkan,
kesihatan anak-anak, persekolahan mereka dan sumber
kewangan kami yang amat terhad,” ujar salah seorang
isteri tahanan terpaksa bekerja sendiri termasuk
menjual kuih dan mengambil upah mengajar Al-Quran di
rumah-rumah jiran untuk menampung keperluan keluarga.

Itulah antara persoalan penting yang diajukan oleh
isteri-isteri tahanan dan dibincangkan dalam pertemuan
yang julung kali diadakan itu.

Walau apa pun, pertemuan itu menjadi satu azimat
kepada mereka untuk bangkit dan terus berjuang
menentang kezaliman akta rimba itu (ISA) sehinggalah
suami mereka dibebaskan.

Bahkan pertemuan itu amat menggembirakan mereka dan
mengucapkan syukur dan terima kasih kepada semua yang
terbabit kerana dengannya mereka mendapat kekuatan dan
semangat baru untuk terus berjuang membebaskan suami
tercinta.

Dalam pada itu, ketika berucap pada majlis ceramah
bertajuk “Pencabulan Hak Asasi Satu Kezaliman” yang
diadakan pada sebelah malamnya, Pengerusi GMI Syed
Ibrahim Syed Noh al-Habshi berkata, pihaknya akan
terus mendesak pihak kerajaan untuk memansuhkan akta
itu sekaligus meminta kesemua tahanan dibebaskan atau
dibicarakan di mahkamah terbuka untuk membuktikan
kesalahan mereka.

“Sama ada tahanan kesemuanya telah dibebaskan atau
tidak, kami akan terus berjuang bagi memastikan tiada
lagi akta yang menindas rakyat yang tidak berdosa, ini
adalah akta yang zalim dan bercanggah dengan hak asasi
manusia,” katanya tegas.

Beliau turut meminta kepada keluarga tahanan agar
tidak berasa bimbang dan takut untuk terus menyuarakan
hak mereka kerana mereka dilindungi undang-undang.

Sementara itu, ketika turut menyampaikan pandangan
dalam majlis ceramah itu, Ustazah Norlaila
mengingatkan agar isteri-isteri tahanan yang terbabit,
terus berjuang dan bergerak dalam satu pasukan
bersama-sama dengan GMI bagi menuntut pembebasan
suami.

“kita jangan takut, kita sebagai isteri jangan berdiam
diri sahaja. Sama ada kita berjuang atau tidak suami
kita tetap dalam tahanan. Maka sebab itu lebih baik
berjuang daripada berdiam diri.

“Perjuangan inilah sebagai hadia kepada suami kita,”
kata Ustazah Norlela.

Norlela turut mengingatkan Isteri-isteri tahanan
suapaya jangan sekali-kali melayani kehendak dan
kemahuan SB.

“Sama ada mereka bagi wang atau tidak jangan layan
mereka. Ini taktik yang digunakan untuk mendapatkan
maklumat sekaligus melemahkan semangat kita untuk
berjuang,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga salah seorang isteri tahanan ISA,
begitu yakin Allah pasti akan membantu usaha murni ini
dan akan dianugerahkan pahala yang besar disisiNya. -
mks.

No comments:

Post a Comment