Pages

Sunday, February 21, 2010

kisah tahanan ISA

Assalamualaikum WBT.

Sayu apabila membaca kisah tahanan ISA yang hanya sempat melihat sekujur tubuh anaknya yang sudah tidak bernyawa.





Gambar-gambar yang tidak bersuara itu mampu membuatkan mereka yang menatapnya menitiskan air mata. Mata-mata yang membaca kisah mereka pasti menahan kesedihan, kesayuan yang teramat sangat.

Kehibaan, kepiluan tergambar di gambar-gambar, wajah-wajah yang melihat pertemuan si bapa (yang dikurung dan ditahan tanpa perbicaraan. Mahkamah syaitan apakah ini yang menghukum manusia tanpa bicara) dengan si ibu dan anak-anak tersayang. Ajal maut Allah menentukan, pertemuannya dengan anaknya hanya mampu dilakukan hanya dengan menatap dan menyentuh sekujur tubuh yang tidak bernyawa.

Kita yang membaca, menatap gambar-gambar pilu merasa sedih dan hiba, apatah lagi mereka yang menjadi mangsa kekejaman ini. Anak-anak yang terpisah daripada bapanya, si isteri yang dipisahkan secara paksa daripada suaminya.

Hati batu manakah yang akan tidak merasa apa-apa melihat kesemua ini. Penzalim manakah yang melihat ini semua sambil tidak merasakan apa-apa kezaliman sedang berlaku.

Manusia apakah sekiranya menatap semua ini tidak timbul sedikitpun rasa sedih dan pilu.

Saya teringat anak tahanan ISA yang pernah diserahkan oleh si ibu kepada saya untuk dijaga ketika 10 akhir Ramadhan. Malam-malam Ramadhan di isi dengan bertadarus al-Quran bersama mereka. Mendengar Syarah Riadussolihin yang dibaca oleh Ustaz Abu Syuaib dan Ustaz Amiruddin. Kenangan-kenangan itu masih kekal. Alhamdulillah, pada tahun yang sama, di dalam kemeriahan menyambut Syawal, mereka mendapat khabar gembira, ayah tercinta dibebaskan. Saya teringat betapa gembiranya hati si isteri itu apabila si suami dibebaskan, terus si ibu merangkap si isteri itu menghantar SMS kepada saya memaklumkan pembebasan suaminya.

Apakah saya kuat sekiranya diuji sebegini rupa? Apakah kita kuat? Apakah kita mampu? Apakah bakal isteri kita mampu? Apakah bakal anak-anak kita mampu? Apakah ibu bapa kita mampu? Apakah adik beradik kita mampu? Apakah kita semua mampu menghadapi semua ini sekiranya ia terjadi kepada kita?

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment