Pages

Wednesday, January 27, 2010

Pesan Nenek

Nenek Keropok??
By Muslimah on July 29th, 2009 | 2 Comments
Alahai… kecoh betul kisah tentang ‘mak cik keropok’ (atau lebih fofular dengan namanya Nenek Keropok!) yang tersebar sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Nenek dengar-dengar juga, tetapi tidak ambil pusing sebab dari zaman Nenek kecil lagi, dah macam-macam cerita sedemikian pernah Nenek dengar.

Semua cerita itu membuat Nenek dan ramai lagi kanak-kanak ketika itu takut hendak ke sekolah atau keluar rumah tanpa orang tua.

Ada cerita tentang mak cik siput (mak cik yang beri siput sedut sebagai tukaran dengan pakaian) dan akan tangkap budak-budak.

Selepas itu, apabila mahu ke sekolah, kakak dan ibu Nenek pula pesan, kalau ada orang ajak cakap-cakap atau ajak ke mana-mana, jangan layan sebab mereka itu mungkin tukang penggal kepala untuk dibuat jambatan.

Masa itu memang Nenek percaya dan takut benar sebab ramai orang cakap, kalau hendak buat jambatan, mesti ada ‘kepala’ orang.

Ada juga cerita hantu raya, hantu kum-kum dan entah apa-apalah lagi.

Pokoknya, semua cerita itu hanya Nenek dengar dari mulut ke mulut hingga jadikan kami, terutama kanak-kanak, berasa sangat takut.

Kini, timbul pula cerita ‘mak cik keropok’.

Cucu-cucu Nenek ketakutan sampaikan pada Ahad lalu ketika Nenek pulang dari pasar dan membawa dua beg plastik besar berwarna merah, Nenek menghadapi masalah hendak masuk rumah sendiri.

Tekan loceng, ketuk pintu berkali-kali sampai sakit tangan Nenek dan beri salam, ketiga-tiga cucu Nenek tidak buka pintu. Ibu dan ayah mereka tiada di rumah kerana pergi ke majlis jemputan kahwin.

Geram betul rasanya. Nenek nampak jiran Nenek ada di rumah, dan Nenek minta tumpang telefon.

Dah ditelefon, baru mereka buka pintu.

Kenapa tidak buka pintu? Penat Nenek dari tadi, hampir 15 minit berdiri di luar tau,

kata Nenek memarahi Adam yang membuka pintu itu.

Tadi ibu dah pesan. Kata ibu, jangan buka pintu kalau ada orang tua ketuk pintu. Takut pulak kalau-kalau yang ketuk tu ‘mak cik keropok’. Dia bawa pontianak tau Nek,

kata Adam.

Nak ketawa ada, geram pun ada.

Jadi, Adam ingat Nenek ni ‘mak cik keropok’ tu ke??

Habis… Nenek pakai tudung hitam, bawa dua kampit merah besar ni pulak… tentulah Adam ingat Nenek ni ‘mak cik keropok’. Lagipun, masa Adam intai di lubang pintu, Nenek tengah tunduk. Adam tak nampak muka Nenek. Seramlah Nek. Manalah tahu kalau-kalau memang ‘mak cik keropok’ yang datang,

katanya sambil tersenyum.

Kakaknya, Lina, dan adiknya, Haziq, yang berdiri tidak jauh dari kami, ketawa terbahak-bahak. Itu yang buat Nenek tambah geram sebab lama dan penat menunggu di luar pintu.

Hmm… begitulah gara-gara kisah ‘mak cik keropok’ itu.

Nampaknya, kisah mengarut yang nyata direka-reka itu sudah menghantui ramai kanak-kanak termasuklah cucu-cucu Nenek itu.

Nenek rasa ada baiknya jika kita bersikap lebih rasional. Jangan asal dengar cerita orang, kita cepat percaya sedangkan semua itu gunakan kekata “dia kata…”, “orang tua tu cerita…”, “kakak sepupu dia punya kawan bilang…” dan macam-macam lagi. Entah ya entah tidak, kita pun tidak tahu dan tidak pasti.

Kita janganlah terlalu melayan cerita-cerita begitu. Kadang-kadang cerita yang tidak betul, apabila sudah ramai memperkatakannya, jadi ‘macam betul’.

Hmm… bagi Nenek, kita semua perlu hati-hati, tidak kira siapa pun yang mengetuk pintu… pastikan orangnya kita kenal betul, barulah buka pintu. Kalau tidak kenal, jangan buka pintu… Bahaya… Manalah tahu… mungkin PEROMPAK!

۞~♥ღ||Musleemah||ღ♥~۞ says: Teringat dahulu sewaktu zaman sekolah menengah saya. Di mana terlintas sebuah idea untuk menyakat kawan-kawan saya yang seringkali suka ‘merayap’ selepas pulang dari sekolah. Pada waktu itu mama saya tidak jemu duduk bercerita dengan saya tentang kisah-kisah orang tua dulu-dulu. Al-maklumlah zaman dahulu kala anak dara terpelihara. Saya begitu asyik mendengarkan cerita tentang ada orang ingin penggal kepala anak-anak muda atau anak-anak kecil untuk membina jambatan yang kukuh. Maka dengan itu, idea untuk menjadi sahabat yang kreatif pun bermula dari kisah itu. Saya menyebar luaskan kisah itu kepada kesemua sahabat-sahabat saya yang saya kenali. (more…)


Biar beradab, terutama di tempat awam.
By Muslimah on April 8th, 2009 | 3 Comments
Musleemah says: Rindu pula dengan bicara kata atau pesanan daripada Nenek kesayangan. Hehe. Terima kasih Nenek atas nasihat dan pesanan Nenek itu yang acap kali tidak pernah jemu memberi kata-kata hikmah kepada kami semua. (=



Nenek selalu dengar daripada anak buah, saudara-mara dan kawan-kawan yang sering naik kereta api MRT tentang ‘pemandangan’ yang tidak menyenangkan.

Kata mereka, perbuatan sesetengah penumpang MRT itu, terutama orang-orang muda dan remaja, menyakitkan mata.

Tanpa segan-segan silu mereka berpeluk-peluk, berciuman dan meraba-raba pasangannya.

Meluat betul aku tengok. Macam dah tak ada tempat lain nak bercium dan berpeluk. Depan-depan aku dan penumpang lain dia berasmara. Macam nak muntah aku tengok,

celoteh si Joyah, jiran Nenek yang memang sering naik kereta api MRT.

Yalah… zaman kentut wangilah tu, sebab tu dia orang begitu kemaruk. Nanti kalau dah bergaduh, taklah lagi mereka buat semua itu,

kata Nenek.

Itulah budak-budak sekarang… bila bermata air saja, dia ingat dah dapat lesen nak raba-raba, nak pegang-pegang mata air tu… Nanti kalau dah tak nak, dia tinggalkan saja. Kesian si perempuan… dah diraba-rabanya, ditinggalkan begitu saja. Kalau ada lelaki lain jadi mata air dia nanti, rugilah sebab si perempuan itu dah teruk,

kata Joyah dengan nada geram.

Betullah kata Joyah tu. Nenek tak nafikan. Budak-budak sekarang ini macam mudah sangat digoda. Baru kenal dah ‘mesra’ semacam… sampaikan tak ada segan silu apabila bercumbu-cumbuan dalam MRT ke… perhentian bas ke… tepi jalan ke…

Hai… apa nak jadi budak-budak ini?

Kalau sudah di depan awam mereka tak segan silu berbuat sumbang, apatah lagi kalau di tempat tersembunyi ya!

Cakap pasal perbuatan sumbang dalam MRT ni, seorang anak buah Nenek yang pernah tinggal kira-kira dua tahun di Kuala Lumpur kerana tugas, memberitahu adanya papan tanda peringatan di dalam kereta api mengingatkan penumpang tentang pelbagai perkara.

Antaranya ialah peringatan tentang larangan makan dan minum, jangan membawa binatang dalam kereta api dan jangan merokok.

Paling menarik ialah adanya papan tanda mengingatkan penumpang tentang larangan berkelakuan sumbang – satu perkara yang memang sering kita lihat dalam kereta api MRT di sini.

Haa… lihat tu. Terang-terangan papan tanda itu mengingatkan. Jadi, apabila budak-budak muda ini nak romance, tentu tak jadi apabila terpandang papan tanda peringatan itu.

Tapi itu yang ‘ada baca’… mereka yang ‘takda baca’… tak kisah. Mereka tak peduli. Mereka tetap berkelakuan sumbang depan awam.

Nenek cukup tertarik dengan cara itu. Baik sekali sebagai satu peringatan kepada mereka yang cuba berbuat tak senonoh.

Apa kata jika pihak SMRT di sini juga berbuat demikian. Pasanglah papan tanda sedemikian bukan saja di dalam kereta api, bahkan di stesen-stesen kereta api, atau di tempat-tempat awam, termasuk di pusat-pusat membeli-belah.

Ini satu cara ‘lembut’ dalam menggalak mereka agar tidak berbuat demikian.

Kalau dah terpampang papan tanda begitu, mereka buat juga… itu maknanya mereka itu memang jenis tak tahu malu!

Budak-budak kecil yang melihat perbuatan mereka tentu saja memerhatikan apa yang dilakukan…

Alahai… apa nak jawab kalau budak-budak itu bertanya.

Cucu aku yang berumur empat tahun tu tanya kenapa girl dengan boy tu cium-cium? Aku jawab, dia sayang adik dia,

cerita Joyah yang ketika itu membawa cucunya yang berusia empat tahun naik MRT.

Isy… isy… isy… berbohong pulak si Joyah dengan cucunya.

Kalau Nenek pun, Nenek tak tahu nak jawab apa…

Hai… mudah-mudahan remaja atau sesiapa saja tahulah jaga adab, terutama ketika berada di tempat awam.



Berayalah tetapi jaga tatasusila…
By Muslimah on October 16th, 2008 | 2 Comments
Oleh sebab kita masih lagi dalam bulan Syawal, Nenek rasa ada baiknya jika Nenek cakap lagi pasal Hari Raya. Apa yang Nenek nampak, sampai hari ini pun, masih ramai daripada kita yang beraya… maklumlah, ramai yang tunggu sampai anak-anak selesai peperiksaan barulah nak berjalan Raya.

Yang muda remaja pun tidak kurang juga. Malah, Ahad lalu, ketika Nenek berjalan Raya ke rumah salah seorang anak buah Nenek, ternampak pula sekumpulan anak muda, ada yang berpasangan, berjalan Raya. Cuma bezanya, mereka ini naik motosikal. Bukan main ramainya… ada sekitar 20 buah motosikal. Dan ini memang sudah biasa dilihat pada tahun-tahun lalu.

Yang menariknya, semuanya memakai baju Melayu berwarna-warni. Nenek cukup bangga apabila melihat anak-anak muda kita, terutama apabila beraya, memakai baju Melayu. Cantik, sopan dan menarik. Tetapi ada juga yang tidak menariknya… mereka ni naik motosikal dengan pemboncengnya wanita.

Bukan apa… maklum sajalah… Nenek ini kan orang tua. Kadang-kadang mata orang tua ini tengok sesuatu yang kurang sedap dipandang, rasa lainlah…

Tegur salah, kalau tidak tegur lagi rasa bersalah.

Nenek yakin hampir semua yang membonceng bukan isteri si penungang… tetapi mata air mereka, tunang atau setakat kawan biasa. Tetapi lagaknya macam suami isteri… Faham-faham sajalah kalau naik motosikal tu… tubuh si penungang dengan pembonceng bagaikan melekat… macam ada gam gitu.

Wahai anak cucu semua, tidak eloklah ya kalau begitu. Awak tu bukan suami isteri. Haram tau kalau gitu! Ada pula yang kata, mereka dah bertunang… yang dibonceng tu pun tunangan sendiri, bukan tunang orang…

Tetapi ingatlah cucu semua… bertunang bukan pasport untuk ‘melekat’ termasuk di atas motosikal ya! Dahlah gitu. Si wanita pula kalau pakai kain, apabila naik motosikal kain diangkat sampai nampa paha… isy…isy…isy… Malulah Nenek tengok macam tu.

Lagi satu, kalau dah beramai-ramai vroom sana, vroom sini… bahaya tau!

Biasanya, kebanyakan Mat Motor ni… kalau dah beramai-ramai macam berlumba-lumba… apabila membelok, mereka buat corner baring… kalau bawa motor bukan main laju lagi… kata orang macam pelesit!

Isy… Nenek takut betul apabila nak menyeberang jalan, ada motor yang bergerak laju… takutlah kalau kena sodok dek motor tu…

Jadi, pada hari baik bulan baik ni, Nenek sebagai orang tua ingin sekali nasihatkan anak cucu yang naik motosikal, hati-hatilah ya. Berayalah, ia memang baik untuk memupuk silaturahim. Tetapi ingat-ingatlah sikit… jagalah tatasusila, jagalah adat dan jagalah keselamatan. Mudah-mudahan semua berjalan dengan baik.








Bisikan Nurani Muslimah: Isy… dah bertunang tidak bermaksud halal dan bebas. Kalau IYER jadi bernikah, kalau TIDAK? Tidakkah kita sebagai wanita merasa rugi besar? Jika kita dipertemukan jodoh dengan lelaki yang baik, tidakkah kita ibarat menipu bakal suami itu? Tidakkah kita merasa bahawasanya bakal suami itu akan merasa rugi mendapatkan kita yang telah bebas bergaul dengan lelaki-lelaki di luar sana? Mestilah selalu beringat kerana ada yang melihat. Wanita… janganlah dikau meletakkan harga diri begitu rendah sekali. Menjatuhkan martabat dan derajat maruah dalam dirimu itu. Seharusnya dikau perlu menanamkan sifat malu pada diri sendiri. Dan sesungguhnya MALU itu adalah IMAN. Wallahu ‘alam bisowob…


Baru Minta Maaf Dah Buat Dosa Lagi!
By Muslimah on October 9th, 2008 | No Comments
Selamat Hari Raya semuanya… apa khabar? Macam mana, sibuk tak Hari Raya kali ini?

Pejam celik pejam celik, dah seminggu kita beraya. Nenek yakin, kebanyakan kita seronok meraikan hari kemenangan setelah sebulan berpuasa.

Sebagaimana lazimnya, Hari Raya memang kita semua bermaaf-maafan. Kata orang, buang yang keruh, ambil yang jernih. Ada pula orang kata, "kita buka buku baru".

Memang betul tu. Kalau bermaaf-maafan, ia harus datang daripada hati paling ikhlas, tidak patut berpura-pura dan tidak patut buat-buat insaf.

Mungkin anda bertanya kenapa Nenek kata begitu. Kalau nak tahu, begini ceritanya.

Ahad lalu, Nenek pergi ke majlis rumah terbuka seorang kawan lama – kawan semasa di sekolah menengah dulu. Seronok benar kerana maklumlah, dah lama tak jumpa kawan-kawan, apabila berjumpa tu, rasanya macam susah nak berpisah. Macam-macam certa lama keluar balik.

Setelah kira-kira dua jam, seorang kawan Nenek, yang kini sudah mempunyai tiga orang cucu – minta diri untuk pulang kerana mahu ke rumah terbuka di tempat lain. Kami pun bermaaf-maafan dan berpeluk-pelukan, termasuklah si tuan rumah dengan kawan yang nak pulang itu.

Nenek lihat sendiri air mata kawan Nenek dengan si tuan rumah meleleh di pipi. Suasana ketika itu penuh syahdu. Apabila si kawan tu balik, Nenek rasa belum pun dia naik lif, si tuan rumah dah mengumpat.

"Aku tak sangka pula si Zainah tu datang," katanya dengan suara berbisik kepada Nenek. "Kenapa pulak? Engkau jemput dia, tentulah dia datang. Kan bagus… merapatkan kembali silaturahim yang telah lama terputus," kata Nenek.

"Aku ni bukan apa… tak jemput tak sedap. Nanti kalau dia tahu aku jemput kawan-kawan lain, dia kecil hati pulak kalau tak jemput dia. Dari dulu aku memang tidak sebulu dengan perangai dia. Banyak mulut, kepo dan suka jaga tepi kain orang. Dia tu suka sangat cemburu dengan orang. Tidak boleh tengok orang lebih daripada dia. Kalau dia tengok dirinya terancam – maksudnya orang yang dianggap boleh mengamcam kedudukannya – maka dia pun buatlah hal.

"Merajuklah, sensitiflah… hei… susah berkawan dengan orang macam tu," kata si tuan rumah tentang kawannya tu.

Isy… isy… isy… Nenek geleng kepala tengok perangai kawan Nenek tu. "Hai, baru kejap tadi engkau berpeluk-peluk sambil menangis-nangis minta maaf dengan dia. "Belum pun orang tu masuk lif, kau dah umpat dia… Jadi, yang kau minta maaf dengan dia tadi tu, pura-puralah ya?" tanya Nenek kepada kawan yang memang rapat dengan Nenek itu.

"Entahlah…dia peluk aku, aku peluklah dia…dia menangis, aku pun nangislah… Tetapi hati aku ni susah betullah nak maafkan dia," kata kawan nenek tu.

Astaghfirullah…

Hai… kenapalah macam tu. Patutnya di hari baik bulan baik inilah kita patutnya memaafkan orang, dan jangan disimpan dendam-dendam lama. Tetapi kawan Nenek tu lain pulak ceritanya…

Mudah-mudahan kita semua, apabila memohon ampun dan maaf dan memaafkan orang, biarlah ikhlas ya… Janganlah pula baru saja minta maaf, dah buat dosa lagi… tidak baik begitu, kasihan…kasihan…

No comments:

Post a Comment