Mesin layan diri syarikat penjual kereta dalam talian, Carvana memudahkan pelanggan untuk mendapatkan kenderaan yang telah ditempah. AGENSI
NASHVILLE 20 Nov. - Sebuah syarikat penjual kereta dalam talian, Carvana mencipta cara tersendiri untuk menghantar kereta kepada pelanggan dengan cara mudah dan menarik iaitu menggunakan mesin layan diri gergasi.
Laman web Oddity Central melaporkan, Carvana menghasilkan konsep pembelian kereta menggunakan mesin layan diri itu pada tahun 2013 di Atlanta dan mengambil masa dua tahun untuk memperbaiki sistemnya supaya mesra pelanggan.
“Mesin layan diri tersebut sangat canggih kerana membolehkan pengguna mendapatkan kereta dengan memasukkan duit syiling khas.
“Kami juga berjaya mengurangkan kos operasi kerana tidak perlu mengupah tenaga kerja yang banyak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Carvana, Ernie Garcia.
Untuk membeli kereta, pembeli boleh melihat gambar kereta yang diminati sebelum menempahnya di dalam laman web syarikat tersebut.
Kemudian, pelanggan perlu melengkapkan dokumen perjanjian sebelum diberi sekeping duit syiling khas yang boleh digunakan di mesin layan diri terbabit untuk mendapatkan kereta yang ditempah.
Garcia berkata, mesin tersebut berbentuk seperti menara lima tingkat yang dindingnya diperbuat daripada kaca dan boleh memuatkan 20 buah kereta dalam satu-satu masa.
Katanya lagi, sistem tersebut memudahkan pengguna mendapatkan kereta yang telah ditempah di laman web, sekali gus mengurangkan kos penghantaran yang perlu ditanggung pelanggan sebelum ini.
“Pelanggan jimat sebanyak AS$2,000 (RM8,500) untuk kos penghantaran. Selain itu pelanggan juga dapat merasai pengalaman menarik ketika menggunakan mesin layan diri berkenaan,” ujar Garcia.
No comments:
Post a Comment