Pages

Wednesday, September 14, 2016

Cedera dibedil keli jatuh dari langit




LISA melihat ikan keli yang jatuh dari langit dan menghempap kepalanya. - Agensi



Philadelphia (Amerika Syarikat): Seorang wanita di sini cedera ringan selepas dihempap ikan keli seberat lebih dua kilogram yang jatuh dari langit.

Lisa Lobree berkata, ketika kejadian dia berjalan di taman Fairmount Park dengan seorang rakannya sebelum seekor ikan keli tiba-tiba menghempap kepalanya.

“Ikan itu sungguh berat sehingga menyebabkan saya terjatuh.

“Saya terkejut dan menjerit apabila melihat objek yang menghempap kepala saya adalah seekor ikan keli,” katanya.

Menurutnya, dia mengalami luka kecil di bahagian matanya akibat terkena duri ikan keli berkenaan.

“Saya tidak tahu bagaimana ikan ini boleh jatuh dari langit dan menghempap kepala saya.

“Beberapa pengunjung memberitahu mereka melihat sekumpulan burung terbang di atas saya sebelum kejadian itu.

“Mungkin ikan itu ditangkap burung berkenaan di tasik berhampiran tetapi terjatuh ketika ia terbang melintasi kawasan ini,” jelasnya.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana hanya mengalami luka kecil di kelopak mata.

“Bayangkanlah sekiranya ikan ini menghempap seorang kanak-kanak, mungkin kecederaannya lebih serius,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 8:39 AM

No comments:

Post a Comment