Pages

Friday, May 6, 2016

30 minit 'bertarung' tangkap tedung selar

Segamat: “Tedung selar itu kelihatan agresif dengan menegakkan kepalanya setinggi 0.5 meter seolah-olah sedia untuk menyerang,” kata Pegawai Ladang Palong Timur 1 Othman Mohamad, 52, yang menceritakan kembali insiden penemuan reptilia terbabit di ladang kelapa sawit seliaannya di Batu Anam di sini, jam 8.30 pagi semalam.
Dalam kejadian itu, pekerja ladang terbabit dikejutkan dengan penemuan reptilia sepanjang 3.5 meter serta seberat 25 kilogram (kg) ketika menyiapkan tugasan masing-masing.
Bimbang dipatuk, aduan dibuat kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Segamat sebelum empat anggota agensi berkenaan dikerah ke lokasi.
Mereka mengambil masa setengah jam untuk menangkap tedung selar itu.
Othman berkata, ular terbabit turut menyembunyikan diri di dalam lubang apabila kenderaan JPAM masuk ke lokasi berkenaan.
“Reptilia itu menjalar ke dalam lubang berhampiran untuk menyembunyikan diri, namun dapat ditangkap setengah jam kemudian,” katanya.
Sementara itu, Pegawai JPAM Daerah Segamat Staff Muda Mohd Nazlan Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.25 pagi sebelum mengerahkan empat anggotanya ke lokasi.
“Kami menjerit serta membuat bising bagi menarik perhatian ular terbabit yang masuk ke lubang sedalam satu meter.
“Usaha kami berhasil apabila ia mengeluarkan kepalanya daripada lubang sebelum ditangkap,” katanya.
Tedung selar itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Daerah Segamat untuk tindakan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2016 @ 10:24 AM


ULAR tedung selar yang ditangkap anggota JPAM Daerah Segamat.

No comments:

Post a Comment