Pages

Thursday, January 14, 2016

Operasi mencari pesawat MH370 temui bangkai kapal karam di dasar lautan



AGENSI - IMEJ bangkai kapal karam yang berjaya dikesan pada kedalaman 3,700 meter di dasar Lautan Hindi semasa operasi mencari pesawat MH370.


SYDNEY – Pasukan mencari pesawat Penerbangan Malaysia MH370 di Lautan Hindi me­nemui sebuah kapal yang karam pada kurun ke-19, namun sehingga kini masih tiada tanda-tanda bangkai pesawat ber­kenaan di kawasan pencarian.
Penemuan bangkai kapal pada kedalaman 3,700 meter itu adalah yang kedua selepas kerja-kerja pencarian pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal sejak dilaksanakan dua tahun lalu.
Pencarian di dasar laut yang diketuai oleh Australia itu merupakan kerja-kerja operasi paling mahal pernah dikendalikan di dasar laut yang seluas 120,000 kilometer persegi.
“Kerja-kerja mencari tersebut dijangka berakhir pada pertengahan tahun ini,” kata Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC) yang menolak bahawa sebarang pencarian akan diperluaskan tanpa petunjuk baharu.
Menurut JACC, sekiranya tiada maklumat baharu yang mengenai lokasi spesifik pesawat itu, kerajaan bersetuju untuk tidak melakukan sebarang usaha memperluaskan kawasan pencarian tersebut.
Kawasan pencarian itu tertumpu di sebuah kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi di mana pesawat itu dipercayai terhempas.
Satu serpihan pesawat itu pernah ditemui terdampar di Pulau Reunion di timur Madagascar pada Julai tahun lalu sekali gus menjadi bukti kukuh bahawa pesawat malang tersebut terhempas ke dalam laut.
Pesawat MH370 hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.
Misi pencarian pada Mei tahun lalu menemui sebuah bangkai kapal kargo yang dipercayai karam pada abad ke-19, manakala penemuan terbaharu, 19 Disember lalu dipercayai sebuah kapal besi yang karam pada abad sama. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3xBfqRXHy 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment