Pages

Saturday, January 9, 2016

Idea dari Korea

Melaka: Minat yang mendalam terhadap seni lukisan mendorong seorang arkitek menghasilkan lebih 500 lukisan lima dimensi (5D) sejak 27 tahun lalu yang kemudian dikongsi dengan orang ramai di Muzium 5D Art Melaka di Lorong Bukit Cina, di sini.
Sunny Goh berkata, dia mula menyedari memiliki bakat itu apabila secara spontan melukis gambar botol tiga dimensi (3D) pada kaki lima jalan yang dilaluinya ketika melancong di Korea Selatan pada 1989.
Katanya, tiga hari sebelum pulang ke Malaysia, dia berasa amat teruja apabila melihat laporan berita mengenai orang ramai di negara itu yang tertarik dengan lukisan botol 3D dihasilkannya.
“Memang teruja kerana itu adalah lukisan saya, namun saya hanya mendiamkan diri kerana perbuatan itu sebenarnya menjadi satu kesalahan di negara berkenaan.
“Sejak itu saya terus menghasilkan lukisan 3D di jalanan di negara yang dilawati untuk mendapatkan kepuasan dan berkongsi hasil seni itu dengan masyarakat tempatan.
“Saya memberanikan diri dengan meninggalkan maklumat mengenai butiran diri pada lukisan dan mendapat maklum balas luar jangkaan apabila dihubungi individu yang tertarik bagi mendapatkan khidmat saya menghasilkan lukisan berdimensi.
“Antara pihak yang menghubungi saya termasuklah dari Jepun, Australia, Kemboja, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan dan China,” katanya..
Goh berkata, dia kemudian berbincang dengan rakan kongsinya untuk membuka syarikat Star 5D Art Studio bagi mengembangkan lagi bakatnya dan membuka muzium lukisan berdimensi pertama mereka, 3D Art Exhibition di Ipoh, Perak.
Menurutnya, muzium 3D itu mendapat sambutan yang luar biasa daripada pengunjung membuatkan mereka bersetuju untuk membuka cawangan kedua iaitu muzium 5D Art Paradise di Taiping, Perak, sebelum Melaka.
Arkitek itu berkata, lukisan berdimensi dipamerkan bukan saja menarik malah memberikan peluang kepada pengunjung untuk berimaginasi dan mengambil gambar mengikut sudut yang menarik.
“5D Art Melaka adalah bangunan rumah kedai dua tingkat yang mempunyai 44 ruang, menempatkan 77 lukisan berdimensi bagi membolehkan pengunjung berimaginasi umpama sebahagian daripada lukisan.
“Semua lukisan ini berbeza dan dihasilkan saya sendiri yang dibantu 10 pekerja yang mempunyai kemahiran melukis.
“Kami mengambil masa empat bulan untuk menyiapkan lukisan kerana ia memerlukan ketelitian dan kesabaran bagi mendapatkan kualiti terbaik.
“Kami menyasarkan seramai 100,000 pengunjung singgah ke muzium ini bagi tempoh enam bulan pertama ia dibuka kerana Melaka adalah destinasi percutian pilihan pelancong tempatan dan luar negara,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:09 AM

GOH bersama rakannya Catrin Hoo (kanan) mempromosikan Muzium 5D Melaka di Bukit Cina.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105897#foto

No comments:

Post a Comment