Pages

Thursday, December 24, 2015

Al-Quran tertua berasal dari Mesir


Disahkan menerusi manuskrip yang sepadan di Perancis
24 Disember 2015 1:00 AM




PARIS 23 Dis. - Manuskrip al-Quran di Universiti Birmingham, England yang dipercayai naskhah tulisan tangan ayat suci umat Islam tertua dunia, dikenal pasti berasal dari sebuah masjid tertua di Mesir.
Agensi berita BBC melaporkan, manuskrip yang berusia sekurang-kurang 1,370 tahun itu pernah disimpan di Masjid Amr ibn al-As di Fustat, Mesir.
Pakar Sejarah al-Quran Kolej de France, Profesor Francois Deroche berkata, lokasi asal itu dikenal pasti kerana salinan tersebut sepadan dengan manuskrip yang terdapat di Perpustakaan Kebangsaan Perancis, Bibliotheque Nationale de France.
Perkara tersebut turut dipersetujui oleh seorang pengkaji, Alba Fedel yang merupakan individu pertama meneliti keaslian dan kesahihan manuskrip yang dijumpai di Universiti Birmingham terbabit.
Manuskrip al-Quran yang berada di Perancis dibawa ke Eropah oleh Asselin de Cherville, yang ber­khidmat sebagai naib konsul di Mesir ketika negara tersebut berada di bawah penguasaan tentera Napoleon Bonaparte pada awal kurun ke-19.
Deroche berkata, bekas isteri De Cherville pernah cuba untuk menjual manuskrip tersebut serta beberapa manuskrip kuno Islam yang lain kepada Perpustakaan Britain sekitar tahun 1820-an.
Jelasnya, manuskrip al-Quran abad ke-19 itu kemudian dihantar ke Perpustakaan Kebangsaan Kaherah dari Masjid Amr ibn al-As di Fustat, dan ketika dalam perjalanan, beberapa helaian manuskrip telah hilang atau dijual di pasar barangan antik.
Sehinggalah pada sekitar tahun 1920-an, seorang lelaki Iraq, Alphonse Mingana yang merupakan seorang peneroka yang dibiayai oleh keluarga Cadbury membeli manuskrip tersebut dan membawanya ke Birmingham.
“Sudah tentu tiada sebarang kesan rasmi tentang penjelajahan tersebut, namun perkara itu sedikit sebanyak menjelaskan kepada kita tentang bagaimana Mingana membawa barangan bernilai dari Fustat,” ujar Deroche.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/al-quran-tertua-berasal-dari-mesir-1.172210#sthash.uEAic2jS.dpuf

No comments:

Post a Comment