Pages

Friday, October 9, 2015

Pelajar mampu hasilkan ‘tulisan komputer’


09 Oktober 2015 12:50 AM

Tulisan seorang pelajar Sekolah Menengah Hengshui yang dijadikan contoh kepada pelajar lain. AGENSI

Penulisan seorang pelajar yang mendapat gred B, ditegur oleh gurunya supaya menulis huruf "f" dan "g" dengan lebih baik. AGENSI 
BEIJING 8 Okt. – Sebuah sekolah menengah di China meraih populariti dalam kalangan pengguna Internet apabila pelajarnya menampilkan kemampuan menulis yang tidak ubah seperti tulisan komputer.
Menurut laporan portal Mail Online, pelajar di Sekolah Menengah Hengshui yang terletak di wilayah Hebei, tengah China, diarahkan untuk menulis tangan ketika kelas bahasa Inggeris dan perlu memastikan setiap huruf ditulis dengan bentuk yang sama.
Malah, pihak sekolah turut menitikberatkan soal tulisan berbanding kesalahan tatabahasa subjek berkenaan.
Beberapa keping gambar karangan bahasa Inggeris pelajar sekolah tersebut tersebar luas dalam laman sosial, menunjukkan kesalahan yang dibulatkan oleh guru kerana bentuk huruf yang ditulis tidak sama.
Selain itu, guru turut memberikan komen terhadap hasil kerja pelajarnya walaupun penulisan yang dihasilkan sangat mengagumkan.
Antara komen yang diberikan oleh guru terhadap penulisan pelajarnya di atas karangan yang ditulis adalah ‘memerlukan lebih banyak latihan’ dan ‘lebih baik’.
Seorang pelajar turut mendapat komen berbunyi ‘Tiada garisan terlebih atau terkurang’ bagi kesalahan menulis huruf terlalu pendek.
Sekolah Menengah Hengshui merupakan antara sekolah terbaik di China ke­rana mengamalkan sistem pembelajaran ala tentera dan mempunyai lebih 5,000 pelajar.
Sekolah itu juga terkenal kerana membantu pelajarnya untuk mencapai markah tertinggi pada setiap tahun dalam Peperiksaan Kemasukan Universiti.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pelajar-mampu-hasilkan-8216-tulisan-komputer-8217-1.144428#sthash.OIuKKKcW.dpuf

No comments:

Post a Comment