Pages

Wednesday, April 22, 2015

Tren maglev cipta rekod baharu kelajuan 600 kilometer sejam



TREN maglev kembali ke stesen selepas mencatat rekod kelajuan baharu dalam satu ujian dekat Gunung Fuji semalam.


TOKYO – Kereta api tercanggih Jepun, maglev mencatat rekod kelajuan dunia apabila bergerak sepantas 600 kilometer sejam(km/j) dalam satu ujian dekat Gunung Fuji semalam.
Tren tujuh gerabak itu mencapai kelajuan maksimum 603km/j dan mengekalkan kelajuan melebihi 600km/j hampir 11 saat, menurut syarikat JR Central.
Rekod baharu itu dicatat kurang seminggu selepas tren syarikat berkenaan mencecah kelajuan 590km/j sekali gus memecahkan rekodnya sendiri pada 2003 iaitu 581km/j.
Tren maglev terapung 10 sentimeter di atas landasan dan pergerakannya dijana magnet-magnet bercas elektrik.
JR Central mahukan kereta api maglev beroperasi pada 2027 melibatkan laluan sejauh 286 kilometer yang menghubungkan kota raya ini dan bandar raya Nagoya, tengah Jepun.
Tren itu akan berge­rak di laluan berkenaan pada kelajuan 500km/j dan menghubungkan kedua-dua bandar raya itu dalam tempoh cuma 40 minit, kurang separuh daripada masa perjalanan kereta api peluru shinkansen.
Menjelang 2045, tren maglev dijangka menghubungkan bandar raya ini dan Osaka dalam tempoh hanya sejam tujuh minit sekali gus mengurangkan masa perjalanan sebanyak 50 peratus.
Bagaimanapun kos pembinaan laluan maglev amat tinggi dengan laluan ke Nagoya menelan belanja sebanyak AS$100 bilion (RM363.24 bilion), manakala 80 peratus laluan tersebut melibatkan perjalanan di dalam terowong. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3Y39d66bP 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment