Pages

Thursday, April 16, 2015

Bapa Cadang Jual Buah Pinggang Untuk Rawat 3 Anak Obes


Diterbitkan: Khamis, 16 April 2015 3:27 PM
Dari kiri, Yogita, Harsh dan Anisha...kini dianggap sebagai kanak-kanak paling gemuk di dunia.

NEW DELHI: Bapa kepada tiga kanak-kanak yang dipercayai sebagai paling gemuk di dunia bercadang untuk menjual salah satu buah pinggangnya demi untuk memperoleh wang bagi merawat mereka.
Yogita Rameshbhai Nandwana, 5, Anisha, 3 dan seorang lagi adik lelaki mereka Harsh, yang berusia 18 bulan adalah di antara kanak-kanak paling berat dan gemuk di dunia.
Berat Yogita kini 34kg, Anisha (48kg) dan Harsh (15kg).
Rameshbhai Nandwana (kiri), 34, and Pragna Ben (belakang kanan), 30, ibu bapa kepada Yogita (depan kiri), Anisha (depan kanan), Harsh (depan tengah) dan seorang lagi anak mereka, Bhavika (belakang tengah).
Jumlah makanan yang mereka ambil seminggu cukup untuk menyara dua buah keluarga selama sebulan.
Kini bapa mereka, Rameshbhai Nandwana, 34, yang berasal dari Gurjarat, India, bercadang untuk menjual salah satu buah pinggangnya bagi membolehkannya mengumpul wang untuk berjumpa dengan pakar obesiti.
"Jika ketiga-tiga anak saya terus membesar dengan kadar yang ada sekarang saya khuatir akhirnya mereka akan menemui maut. Buat masa ini selera makan mereka tidak boleh dihalang," ujarnya sebagaimana yang disiarkan oleh portal berita UK, Mail Online pada Khamis.
Manakan tidak, Yogita dan Anisha makan 18 keping capati sehari, nasi, sup, enam paket keropok, lima paket biskut, 12 biji pisang dan satu liter susu tidak termasuk minuman ringan seperti coca-cola dan pepsi.
Yogita dan Anisha makan lapan capati, 41 paun nasi, tiga mangkuk sup, lima paket keropok, lima paket biskut dan 12 pisang.
Setiap hari ibu mereka, Pragna Ben, 30, terpaksa menyediakan enam kali hidangan kepada mereka iaitu pada jam 6 pagi, 10 pagi, 12.30 tengah hari, 3 petang, 5 petang dan akhir sekali pada jam 8 malam.
"Saya perlu menyediakan sekurang-kurangnya 30 capati sehari dan sekurang-kurangnya 1kg gulai sayur setiap pagi," ujarnya.
Menurut Pragna, ketiga-tiga anaknya itu sentiasa lapar dan tidak boleh berhenti makan.
"Masalah kami ialah mereka akan menjerit tanpa henti jika lapar dan hanya akan diam bila dihidangkan makanan," katanya lagi.
Selain tiga orang anak obes ini, pasangan itu juga mempunyai seorang lagi anak sulung perempuan yang normal.
"Ketika Yogita dilahirkan dia hanya seberat 1.5kg dan sangat lemah dan kami memberikan makanan tambahan kepadanya sepanjang satu tahun yang pertama sehinggalah beratnya mencapai 12kg pada ulang tahun kelahirannya yang pertama.
"Anak ketiga kami Anisha turut berhadapan dengan masalah yang sama malah ketika dia mencapai usia setahun, beratnya meningkat kepada 15kg," katanya.
Anisha dipeluk bapanya, Ramashbhai sambil disaksikan Harsh. Sebanyak Rs10,000 dibelanjakan sebulan untuk makanan anak-anaknya.
Menurut bapa mereka lagi, pada mulanya mereka sangka ini adalah pembesaran yang normal sehinggalah kelahiran anak lelaki mereka Harsh, dia juga turut membesar dengan kadar yang sama dan kini mereka khuatir yang anak mereka akan terus membesar tanpa had.
Pendapatan mereka sekeluarga tidak sampai Rm200 sebulan dan jumlah ini tidak memadai untuk mereka berjumpa dengan doktor pakar bagi mendapatkan rawatan untuk Yogita, Anisha dan Harsh.
Separuh daripada pendapatannya itu terpaksa dihabiskan untuk makanan anak-anaknya sahaja.
"Dengan berat badan yang begitu besar mereka kini tidak dapat berjalan. Mereka hanya boleh makan sahaja," tegasnya.
Malah ibu mereka terpaksa menggunakan troli untuk mengusung ketiga-tiga anaknya itu ke bilik air setiap kali mereka hendak mandi atau membersihkan diri.
"Mereka terlalu berat...saya seorang tidak boleh mengangkat mereka," kata ibu mereka.
Pakar Paediatrik Hospital Kanak-Kanak Mandavia di Gujarat, Dr Akshay Mandavia berkata, tidak syak lagi ketiga-tiga kanak-kanak itu berhadapan dengan sindrom obesiti yang kronik dan memerlukan rawatan segera jika mereka ingin menjalani kehidupan yang normal.

No comments:

Post a Comment