Pages

Friday, March 13, 2015

Tiga angkasawan ISS kembali ke Bumi



BEBERAPA petugas agensi angkasa lepas Rusia memeriksa kapal angkasa Soyuz yang mendarat di tengah Kazakhstan semalam.


MOSCOW – Dua kosmonaut Rusia dan seorang angkasawan Amerika Syarikat (AS) pulang ke Bumi semalam dengan menaiki kapal angkasa Soyuz selepas enam bulan berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).
Kosmonaut wanita Rusia pertama yang bertugas di ISS, Yelena Serova bersama rakan senegara, Alexander Samokutyaev dan angkasawan AS, Barry Wilmore mendarat di Kazakhstan sejurus selepas matahari terbit.
“Kru Ekspedisi 42 kembali ke Bumi,” kata komentator Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) semasa siaran langsung pendaratan tersebut.
Pasukan mencari dan menyelamat Rusia dikerahkan untuk mengambil tiga angkasawan itu selepas mereka mendarat di kawasan tanah pamah steppe di selatan Dzhezkazgan.
Pendaratan tersebut turut disahkan oleh agensi angkasa lepas Rusia, Roscosmos.
“Kapal angkasa Soyuz selesai mendarat pada pukul 5.14 pagi (waktu Moscow),” kata agensi berkenaan dalam satu kenyataan.
Trio tersebut meninggalkan Bumi pada 26 September tahun lalu. Mereka berada di ISS selama 167 hari dan melakukan perjalanan sejauh 112 juta kilometer sepanjang tempoh tersebut, kata NASA.
Timbalan Perdana Menteri Rusia, Dmitry Rogozin berkata, semua angkasawan itu berada dalam keadaan baik. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0313&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3UEe5bC96 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment