Pages

Thursday, February 19, 2015

Mogok lapar depan rumah mentua

KUMARI mogok lapar di luar rumah mentuanya sejak beberapa hari lalu.
Patna (India): Seorang pengantin baru di sini melancarkan mogok lapar di hadapan rumah mentuanya sejak tiga hari lalu bagi mendesak keluarga suaminya menerimanya sebagai menantu.
Wanita itu, Priti Kumari berkahwin dengan seorang guru, Dheeraj Kumar selepas lelaki itu diculik pada 21 April tahun lalu.
Bagaimanapun, Kumar mendakwa dia dipaksa berkahwin dengan Kumari dan dipukul apabila enggan berbuat demikian.
Selepas berkahwin Kumar dibebaskan dan dibenarkan pulang ke rumah, tetapi lelaki itu enggan menerima isterinya walaupun beberapa kali dirayu keluarga wanita berkenaan.
Kumari yang kecewa membuat satu majlis perkahwinan di luar rumah mentuanya di kampung Makdampur di negeri Bihar pada Hari Valentine lalu dengan harapan dia diterima sebagai menantu.
Usahanya sia-sia apabila keluarga mentuanya masih tidak membenarkan dia masuk ke rumah.
Sejak itu, Kumari berikrar melancarkan mogok lapar dan sanggup mati kebuluran daripada pulang ke rumah ibu bapanya.
Tindakan Kumari itu menyebabkan pihak berkuasa di negeri itu bingung dan menghantar sepasukan anggota polis untuk mengawasi keselamatan wanita itu serta pasukan perubatan bagi memantau kesihatannya.
“Saya sanggup mati daripada pulang ke rumah keluarga saya.
“Seorang gadis Hindu hanya berkahwin sekali dalam hidupnya,” kata Kumari yang menegaskan dia tidak akan menjamah sebarang makanan sehingga diterima keluarga mentuanya.
Keluarga Kumar berkata, mereka enggan mengiktiraf perkahwinan berkenaan kerana tidak mendapat restu kedua ibu bapa lelaki itu.
“Saya dipaksa berkahwin dengannya dan pihak polis juga sudah menahan tiga individu selepas saya membuat aduan, malah kes ini masih dibicarakan di mahkamah,” kata Kumar.
Perkahwinan paksa adalah perkara biasa di sebahagian negeri Bihar dan menurut polis, seramai 2,533 individu diculik untuk dikahwinkan sepanjang tahun lalu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:24 AM



- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31948#sthash.zfnnGhQk.dpuf

No comments:

Post a Comment