Zagreb: Seorang pesara Croatia yang didakwa mencekik pesakitnya di bilik mandi hingga mereka pengsan dalam usaha untuk menghentikan ketagihan rokok berdepan dengan hukuman penjara atas tuduhan menipu.
Dengan senarai pelanggan, termasuk bekas menteri dan seorang bintang pop, Petar Miro Zanki, 69, berpendapat dia menemui cara terbaik untuk merawat ketagihan rokok.
Tetapi, tekniknya termasuk menutup muka pelanggan dengan tuala dan menghembuskan asap rokok pada muka mereka menimbulkan keraguan.
Satu lagi teknik rawatan ialah dengan menekan beberapa bahagian leher pelanggan, menyebabkan mereka susah bernafas.
Pendakwa raya menerima aduan daripada dua pelanggan yang tidak berpuas hati dengan mendakwa Zanki mencekik mereka hingga pengsan.
Cara itu, kata mereka, gagal menghentikan ketagihan mereka.
Hasil siasatan menunjukkan Zanki tidak mempunyai kelayakan untuk menjalankan sebarang jenis rawatan.
Dia kini berdepan tuduhan menipu yang membolehkan dia dipenjara hingga enam bulan jika didapati bersalah.
Bagaimanapun, beberapa pelanggan membela teknik Zanki.
Seorang bekas menteri dan beberapa selebriti tempatan berkata, mereka mempunyai pengalaman positif dengan rawatan itu.
Zanki mengenakan bayaran 200 euro (RM898) untuk setiap sesi rawatan antara 2011 dan 2012.
Croatia mempunyai antara paling ramai perokok di Eropah dengan 30 hingga 40 peratus penduduk dewasanya ketagih.
- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14
Pages
▼
Monday, April 14, 2014
15,000 penduduk Islam dikepung
BANGUI 13 April - Kira-kira 15,000 penduduk Islam di Republik Afrika Tengah (RAT) terperangkap di ibu negara ini dan berdepan ancaman dibunuh atau harta benda mereka dirampas oleh kumpulan militia Kristian yang mengepung bandar ini.
Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengulangi amaran penduduk Islam terdedah kepada bahaya di Bangui dan perlu dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat di bahagian utara negara ini atau ke luar negara.
Kehadiran beribu-ribu tentera Perancis dan Afrika di Bangui juga dilihat tidak mampu memberi perlindungan kepada penduduk Islam, walaupun Majlis Keselamatan PBB meluluskan kerahan kira-kira 12,000 askar pengaman ke rantau itu pada Khamis lalu.
Portal berita Presstv melaporkan kebanyakan masyarakat Islam d i RAT terperangkap di pekan Boda dan kira-kira dua ribu orang dilaporkan terbunuh sejak keganasan agama tercetus di pekan itu pada Disember lalu.
Dalam perkembangan sama, pasukan pengaman Afrika mengiringi lebih 1,000 penduduk Islam melarikan diri daripada serangan militia Kristian di Bossangoa, semalam.
Sumber polis melaporkan, kesemua penduduk yang melarikan diri itu dibawa menuju ke negara jiran, Chad dan tiada seorang penduduk Islam yang tinggal di pekan tersebut.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon menyuarakan kebimbangan tentang laporan berlakunya penghapusan etnik di RAT sehingga menyebabkan penduduk minoriti Islam terpaksa menjadi pelarian.
Ki-moon turut menggesa pemimpin negara terbabit mengelakkan berulangnya jenayah pembunuhan beramai-ramai seperti yang berlaku di Rwanda kira-kira 20 tahun lalu.
"Jangan ulangi kesilapan seperti di Rwanda pada 1994 yang menyaksikan 18,000 orang dibunuh secara beramai-ramai.
"Ambil pengajaran tersebut, dan masa depan negara ini terletak di tangan anda (pemimpin RAT)," katanya ketika mengadakan lawatan di Bangui, semalam. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140414/lu_01/15000-penduduk-Islam-dikepung#ixzz2yo67v795
© Utusan Melayu (M) Bhd
India cipta kasut dilengkapi bluetooth
HYDERABAD 13 April - Sebuah syarikat pembuat kasut India, Ducere Technologies berjaya menghasilkan sepasang sepatu yang dapat memandu penggunanya menuju ke destinasi dihajati, dengan hanya memberi isyarat getaran.
Menurut Mail Online, kasut yang dicipta secara bersama oleh Krispian Lawrence, 30, dan Anirudh Sharma, 28, yang dikenali sebagai Lechal itu mempunyai kelengkapan bluetooth yang dihubungkan dengan sistem pemetaan telefon mudah alih.
Menggunakan teknologi pemandu arah kaki, maklumat yang diterima daripada telefon mudah alih akan digunakan sebagai input untuk memandu arah dengan menggunakan isyarat getaran.
Selain memandu arah, Lechal juga dapat mengira langkah perjalanan dan kalori yang dibakar oleh penggunanya ketika terlibat dalam aktiviti seperti berlari dan berjalan.
Menurut Lawrence, kasut yang dijual pada harga AS$100 (RM 323.81) itu mudah digunakan, selain dapat meningkatkan keselamatan di jalan raya.
Jika saya sedang menunggang motosikal atau basikal, saya tidak lagi perlu melihat telefon untuk mengetahui sesuatu lokasi, kerana perbuatan itu boleh membahayakan diri. Sebaliknya saya akan dipandu oleh kasut ini," jelas Lawrence.
Kasut tersebut turut dijual dalam bentuk pelapik, yang boleh diletakkan di dalam mana-mana kasut mengikut kecenderungan seseorang pengguna.
Walaupun kasut ini hanya akan dipasarkan di seluruh dunia pada Jun ini, Ducere Technologies sudah menerima lebih 3,000 pesanan awal daripada pelanggan yang berminat.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140414/lu_09/India-cipta-kasut-dilengkapi-bluetooth#ixzz2yo4Zowtx
© Utusan Melayu (M) Bhd