Pages

Monday, April 14, 2014

India cipta kasut dilengkapi bluetooth


Lechal dapat memandu arah dengan memberi isyarat getaran. - AGENSI
HYDERABAD 13 April - Sebuah syarikat pembuat kasut India, Ducere Technologies berjaya menghasilkan sepasang sepatu yang dapat memandu penggunanya menuju ke destinasi dihajati, dengan hanya memberi isyarat getaran.
Menurut Mail Online, kasut yang dicipta secara bersama oleh Krispian Lawrence, 30, dan Anirudh Sharma, 28, yang dikenali sebagai Lechal itu mempunyai kelengkapan bluetooth yang dihubungkan dengan sistem pemetaan telefon mudah alih.
Menggunakan teknologi ‘pemandu arah kaki’, maklumat yang diterima daripada telefon mudah alih akan digunakan sebagai input untuk memandu arah dengan menggunakan isyarat getaran.
Selain memandu arah, Lechal juga dapat mengira langkah perjalanan dan kalori yang dibakar oleh penggunanya ketika terlibat dalam aktiviti seperti berlari dan berjalan.
Menurut Lawrence, kasut yang dijual pada harga AS$100 (RM 323.81) itu mudah digunakan, selain dapat meningkatkan keselamatan di jalan raya.
“Jika saya sedang menunggang motosikal atau basikal, saya tidak lagi perlu melihat telefon untuk mengetahui sesuatu lokasi, kerana perbuatan itu boleh membahayakan diri. Sebaliknya saya akan dipandu oleh kasut ini," jelas Lawrence.
Kasut tersebut turut dijual dalam bentuk pelapik, yang boleh diletakkan di dalam mana-mana kasut mengikut kecenderungan seseorang pengguna.
Walaupun kasut ini hanya akan dipasarkan di seluruh dunia pada Jun ini, Ducere Technologies sudah menerima lebih 3,000 pesanan awal daripada pelanggan yang berminat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140414/lu_09/India-cipta-kasut-dilengkapi-bluetooth#ixzz2yo4Zowtx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment