Pages

Thursday, November 6, 2014

Tahanan paling lama Guantanamo akhirnya pulang ke Kuwait

MIAMI: Seorang tahanan yang ditahan paling lama di Teluk Guantanamo, Fawzi al-Odah, dihantar pulang ke Kuwait semalam.
Peguamnya, Eric Lewis, berkata al-Odah diberitahu pembebasannya akan datang tetapi beliau tidak tahu tarikhnya sehingga sebelum dibawa menaiki pesawat ke negaranya dari pangkalan udara di tenggara Cuba.
Al-Odah, 37, menjadi tumpuan berikutan usaha berterusan untuk mendapatkan pembebasannya yang disokong oleh kerajaannya.
Lewis, yang bercakap dengan Fawzi seminggu sebelum pembebasannya, berkata tahanan terbabit tidak mahu memikirkan apa-apa lagi dan hanya ingin meneruskan kehidupannya.
"Tiada kepahitan, tiada kemarahan.
"Hanya ada kegembiraan bahawa dia akan balik ke rumahnya," kata Lewis.
Al-Odah menghadapi tahanan minimum setahun di pusat pemulihan militan di penjara Kuwait di bawah perjanjian perpindahan.
Lewis berkata selepas enam bulan, al-Odah layak keluar sebahagian hari untuk menemui keluarganya atau bekerja.
Perpindahannya menjadikan jumlah tahanan di Teluk Guantanamo kini 148 orang. Dia adalah yang pertama sejak Mei lalu apabila Presiden Barack Obama menimbulkan kemarahan Kongres dengan menukar lima tahanan Taliban dengan Sarjan tentera Bowe Bergdahl tanpa memaklumkan ahli Parlimen.
Al-Odah berada di Guantanamo sejak Februari 2002, antara tahanan awal yang dibawa ke pangkalan berkenaan selepas disyaki mempunyai hubungan dengan al-Qaeda atau Taliban.
Pentadbiran Obama berikrar akan cuba menutup pusat tahanan itu, yang dibuka pada Januari 2002 dan pembebasan tambahan dijangka dilakukan dalam beberapa bulan lagi.
Ayahnya, Khalid al-Odah, berkata dalam beberapa temu ramah sejak beberapa tahun lalu, anaknya hanya seorang guru di Afghanistan dan tersalah serah kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat bagi mendapatkan ganjaran.
"Kadangkala isteri saya memanggil nama anak saya yang seorang lagi dengan nama Fawzi. Pada masa lain saya terbangun pada waktu malam dan mendapati isteri saya tidur di bilik Fawzi," kata ayahnya dalam temu ramah pada 2005. - AP

No comments:

Post a Comment