Pages

Saturday, November 15, 2014

Batu nisan ‘membesar’

Kuala Pilah: “Saya masih ingat ketika kecil dulu kerap bermain dengan kawan-kawan di kawasan ini dan batu nisan ini hanya separas lutut orang dewasa.
Kini ia semakin membesar ada antaranya melebihi ketinggian saya dan mencecah hampir dua meter,” kata penjaga kubur Khalibah Ujang, 63, dari Kampung Ibol, Terachi, dekat sini, menceritakan kisah batu nisan ‘hidup’ jenis megalit atau batu hidup.
Walaupun tidak sehebat struktur batu Stonehenge di Wiltshire, England, penemuan batu nisan di beberapa perkampungan di Terachi, amat unik dan antara khazanah negara yang perlu dipulihara untuk tatapan generasi akan datang.
Bagi mereka yang melalui Jalan Seremban-Kuala Pilah, di Terachi, pasti ternampak beberapa lokasi di kiri dan kanan laluan berkenaan mempunyai papan tanda Tapak Megalitik atau tapak batu hidup yang menempatkan kawasan kubur lama dianggar berusia ratusan tahun dan di bawah pengawasan Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS).
Menurut Khalibah yang juga satu-satunya penjaga kubur wanita di daerah ini, kawasan kubur lama terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya itu dianggap unik kerana sebahagian batu nisan lama terdapat di situ mengalami perubahan dan semakin tinggi.
“Zaman dulu memang tiada kedai membuat batu nisan, sebab itu, jika ada kematian, penduduk mengambil batu dari anak sungai berhampiran kampung ini sebagai tanda atau batu nisan.
“Namun, yang peliknya batu berkenaan semakin lama semakin tinggi. Ia sesuatu yang misteri kerana ada antara batu yang berusia ratusan tahun ini seolah-olah mempunyai ‘akar’ dan hidup membesar seperti pokok,” katanya ditemui di rumahnya.
Khalibah berkata, sebagai penjaga tanah perkuburan, dia diberi amanah untuk menjaga kebersihan kawasan itu yang kerap menerima pelawat sama ada individu atau kumpulan termasuk pelajar institusi pengajian tinggi.
“Namun, memandangkan kawasan ini wujud sejak ratusan tahun lalu, maka ia tidak terlepas mengalami perubahan.
“Sebagai contoh, terdapat batu nisan ini yang terkeluar dari kawasan pagar dan hampir ke tepi longkang dan ini menunjukkan terjadinya hakisan di kawasan ini termasuk kubur kepunyaan individu dikenali sebagai Tok Bongkok yang batu nisannya semakin condong,” katanya yang berharap pemuliharaan dilakukan segera oleh pihak berkaitan.
Seorang penduduk, Karim Sidek, 74, berkata, terdapat tidak kurang 50 tapak megalitik di daerah ini sama ada di tepi jalan utama Seremban-Kuala Pilah atau di bahagian pedalaman sekitar Terachi antaranya di Kampung Talang, Kampung Parit Tengah, Kampung Kundang Kiri, Kampung Masjid, Kampung Padang Lebar dan Kampung Gedang.
“Saya juga difahamkan batu hidup ini juga ada terdapat di daerah Tampin dan Rembau. ‘Orang lama’ mengatakan bahawa darjat seseorang itu juga dapat dilihat melalui cara dan kedudukan batu nisan itu ditanam.
“Misalnya, batu nisan di hadapan rumah ibu saya di Kampung Padang Lebar, Terachi, dipercayai milik orang kenamaan atau keturunan raja,” katanya.
Pengarah LMNS Drs Shamsuddin Ahmad ketika dihubungi berkata, megalitik berasal daripada perkataan Greek iaitu ‘Mega’ bermaksud besar dan ‘Lithos’ pula batu.
“Penemuan batu megalit di daerah ini tanda pengembangan penempatan masyarakat terawal dan pada ketika itu hanya menjadikannya sebagai tempat pemujaan dan mampu mempengaruhi ekonomi masyarakat ketika itu.
“Ini kerana pada zaman itu, masyarakat hanya bergantung kepada pertanian. Justeru, penyembahan serta pemujaan batu megalit dipercayai mampu meningkatkan pertanian serta subur,” katanya.
Katanya, kewujudan batu megalit di daerah ini masih misteri dan semua batu yang ditemui akan dijaga serta dipulihara sebagai khazanah negara.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:09 AM


KARIM menunjukkan kubur lama di hadapan rumah ibunya dipercayai milik orang kenamaan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9234#sthash.9agLvaUS.dpuf

No comments:

Post a Comment