Pages

Saturday, October 18, 2014

Remaja lumpuh guna kaki bionik

KATIE Watson menggunakan teknologi kaki bionik untuk memulihkan penyakit lumpuh yang dialami akibat kemalangan. - AGENSI

LONDON 17 Okt. - Seorang remaja dari Britain yang lumpuh akibat kemalangan jalan raya, menemukan sinar harapan baharu untuk meneruskan impiannya menjadi penunggang kuda profesional apabila menggunakan teknologi kaki bionik bagi membantunya mencapai cita-citanya itu.
Katie Watson, 19, dari Ilkeston, Derbyshire patah tulang leher selepas kereta yang dipandunya terbabas lalu terbalik di Cirencester, Gloucestershire pada Februari lalu dalam perjalanan pulang selepas mengambil bahagian dalam perlumbaan lumba kuda yang pertama kali disertainya.
Sejak itu kakinya lumpuh akibat masalah saraf yang dialaminya.
Portal berita Mail Online me­laporkan, Watson terlantar selama lima bulan di hospital dan menjalani rawatan fisioterapi setiap hari sebelum diberikan kaki bionik untuk menjadi individu pertama menggunakan teknologi berkenaan di Britain.
Menurut laporan itu, peralatan yang dijana menggunakan kuasa bateri itu dipasang pada kaki Watson untuk membantunya bergerak dan berjalan.
Selepas berulang kali menggunakan kaki bionik itu, Watson sudah mampu berjalan tanpa dibantu dan mula menunggang kuda semula, selain berharap untuk kembali menyertai pertandingan lumba kuda.
Menurut Watson, pada mulanya, dua orang doktor memberitahu bahawa dia tidak akan dapat berjalan semula dan berita tersebut membuatkannya berasa sangat kecewa tetapi Watson tidak berputus asa untuk mencari jalan bagi memulihkan kakinya.
Syarikat pembuat kaki bionik itu, AlterG berkata, teknologi itu merupakan yang pertama di dunia dan digunakan untuk membantu pesakit yang me­ngalami masalah strok, cacat, pembedahan ortopedik dan kecederaan otak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141018/lu_06/Remaja-lumpuh-guna-kaki-bionik#ixzz3GRkHsEhX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment