Pages

Thursday, October 9, 2014

Ketumbuhan sebesar bola sepak dibuang


WAJAH Grace sebelum (kiri) dan selepas (kanan) menjalani pembedahan membuang ketumbuhan yang membesar pada rahangnya. - AGENSI
KINSHASA 8 Okt. - Seorang gadis dari Republik Demokratik Congo yang menderita tumor pada rahangnya, terselamat daripada maut selepas dia menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu yang membesar sehingga saiz sebiji bola sepak.
Remaja itu yang hanya dikenali sebagai Grace, 17, selamat menjalani pembedahan membuang tumor itu di sebuah hospital kebajikan Mercy Ships, hospital kapal terbesar di dunia, baru-baru ini.
Grace boleh meninggal dunia sekiranya tulang tumor yang terbentuk daripada sel-sel yang biasanya membentuk enamel gigi itu, terus membesar pada tulang rahangnya.
Walaupun ketumbuhannya mula membesar ketika usianya 10 tahun, Grace masih mampu bercakap dan makan namun dia membuat keputusan untuk berhenti sekolah selepas menyedari penyakitnya itu.
Selepas hospital tempatan gagal menolong Grace, Mercy Ships tampil membantu remaja itu menjalani pembedahan membuang ketumbuhannya termasuk merendahkan rahang dan giginya.
Doktor bedah, DR Gary Parker berkata, Grace boleh mati sekiranya tidak menjalani pembedahan itu.
"Untuk membuang tumor itu, kami terpaksa membedah lehernya dan memisahkan ketumbuhan tersebut daripada rahang asal," katanya sebagaimana lapor Mirror Online.
Tambahnya, selepas membuang tumor bersaiz bola sepak itu, mereka menggantikan rahang yang dibuang dengan plat logam diperbuat daripada titanium.
"Dia boleh menggunakan gigi palsu sekiranya dia mahu nanti,'' katanya.
Kehidupan Grace kini berubah selepas pembedahan itu yang menjadikannya lebih gembira dan yakin, malah remaja itu kini mahu meneruskan pembelajarannya dalam bidang kejururawatan bagi membantu orang lain.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141009/lu_12/Ketumbuhan-sebesar-bola-sepak-dibuang#ixzz3FcmgdCfs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment