Pages

Monday, October 13, 2014

Kasih sejati bawa ke mati

Italvino (kiri) dan Diva, meninggal dunia selang 40 minit. 


Brasilia: Selepas berkahwin selama 65 tahun, ikatan cinta sepasang suami isteri ini begitu kukuh hingga mereka meninggal dunia hampir serentak.
Italvino dan Diva Poss meninggal dunia di bilik sebuah hospital yang sama, selang 40 minit antara satu sama lain.
Italvino, 89, dirawat di hospital itu kerana menghidap leukemia sejak Ogos lalu.
Manakala Diva menjalani kemoterapi kerana ketumbuhan.
Minggu lalu, Diva meminta anggota keluarganya berkumpul selepas menyedari dia tidak akan hidup lebih lama.
"Dia berasa masanya sudah sampai dan mahu berjumpa dengan semua ahli keluarga.
"Datuk saya menerima rawatan di bilik sama. Mereka berbual kali terakhir dan kelihatan tenang," kata cucu mereka, Rafael Max.
Menurut laporan media, jururawat memindahkan Italvino ke katil kosong bersebelahan Diva dan mendekatkan katil berkenaan supaya mereka boleh berpegang tangan.
Italvino mati terlebih dulu.
"Selepas datuk meninggal dunia, emak saudara saya berbisik kepada nenek, mengatakan datuk pergi dengan tenang. Ketika itu nenek juga nampak lebih aman seolah-olah datuk sudah membuka pintu untuknya pergi bersama," kata Max.
Empat puluh minit kemudian, Diva pula meninggal dunia.
Pasangan berkenaan berkenalan di satu majlis tarian pada 1948.
"Datuk sentiasa berkata mereka sudah berkahwin lebih setahun sebelum itu kerana menganggap perkahwinan mereka terjalin dari hari pertama ketika mereka bertemu," kata Max lagi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:09 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/1460#sthash.z4nRPhrf.dpuf

No comments:

Post a Comment