Pages

Wednesday, September 10, 2014

Penyakit boleh tersebar di pejabat

BUTANG lif yang terdapat di pejabat merupakan antara tempat kuman mudah tersebar. - GAMBAR HIASAN
NEW YORK 9 Sept. - Satu kajian terbaharu mendapati jangkitan kuman boleh merebak kepada lebih separuh tenaga kerja di tempat kerja melalui tombol pintu pejabat dalam tempoh dua jam sahaja.
Portal berita Mail Online melaporkan, sehubungan itu, kajian yang dijalankan oleh Persatuan Mikrobiologi Amerika turut menyarankan supaya amalan membasuh tangan secara kerap perlu dilakukan bagi menghalang jangkitan kuman akibat memegang tombol pintu yang tercemar.
Menurut ketua kajian tersebut, Dr. Charles Gerba, dalam tempoh setiap dua jam, mereka menguji 60 hingga 100 permukaan objek yang boleh menjadi lokasi kuman berjangkit seperti suis lampu, butang lif, sinki dan komputer.
Jelas Gerba, keputusan ujian selepas dua jam seterusnya menunjukkan, 40 hingga 60 peratus objek terbabit dicemari virus.
"Kajian kami mendapati penyebaran virus boleh berlaku dengan pantas dan pekerja perlu mengambil langkah mudah untuk mengatasi masalah itu.
"Cara terbaik adalah mengelap permukaan yang tercemar dengan pengelap anti bakteria, selain membasuh tangan dengan kerap," katanya.
Kajian sebelum ini oleh Gerba pada 2010 menunjukkan pelbagai objek yang sering disentuh oleh orang ramai mengundang risiko penyebaran virus dengan lebih pantas.
Gerba berkata, ramai orang fikir virus tersebar melalui batuk dan bersin, tetapi jumlah objek yang disentuh hampir setiap hari di pejabat juga boleh menjadi faktor penyebaran kuman.
"Objek yang melibatkan proses menekan butang seperti yang terdapat pada lif, papan kekunci komputer dan telefon adalah antara objek yang perlu diberikan perhatian.
"Namun, tindakan yang paling penting adalah berehat di rumah jika anda tidak sihat bagi mengelakkan penyebaran virus kepada orang lain,'' katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140910/lu_10/Penyakit-boleh-tersebar-di-pejabat#ixzz3CrRtjsWS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment