Pages

Monday, September 1, 2014

Leandra manusia paling tua di dunia


Peminat coklat, Leandra Becerra Lumbreas dilahirkan pada 31 Ogos 1887, berusia 27 tahun apabila Perang Dunia Kedua meletus dan 82 tahun apabila lelaki pertama di dunia menjejakkan kaki di bulan.
Rahsia Leandra hidup lama ialah dengan amalan pemakanan yang baik, mengunyah coklat dan tidur selama beberapa hari ketika sudah lanjut usia, kata keluarganya.

Leandra dilapor menyertai perang ketika Revolusi Mexico pada 1910-1917 dan menjadi pemimpin Adelitas, kumpulan bersenjata wanita.
Foto
LEANDRA

Bekas tukang jahit yang berasal dari Zapopan, barat Mexico, sudah kehilangan lima anak dan beberapa daripada 20 cucunya - yang terbaru pada 2013 apabila anaknya 90 tahun meninggal dunia.

Dia juga memiliki 73 cicit dan 55 piut.

Leandra 12 tahun lebih tua daripada Misao Okawa, orang yang diiktiraf paling tua hidup di dunia ketika ini, menurut Buku Rekod Dunia Guinness.

Pihak berkuasa Mexico kini berusaha menyediakan sijil kelahiran baru selepas wanita itu hilang sijil asal 50 tahun lalu ketika berpindah rumah.

Cucunya, Miriam Alvear memberitahu akhbar tempatan El Horizonte, walaupun sudah pekak dan rabun, Leandra masih menghiburkan keluarganya dengan cerita seperti yang terdapat dalam buku sejarah. 

Satu-satu barangan yang boleh mengingatkannya mengenai kisah lampau ialah sudu perak yang dibuat pada 1847, sepasang subang emas, cincin dan jam saku yang dilakar dengan gambar kereta api.

“Dia sentiasa berjuang. Dia masih menjahit sehingga dua tahun lalu. Dia tidak pernah berhenti melakukan kerja. Mungkin itu yang menyebabkan dia hidup lama,” kata Miriam. -Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/01

No comments:

Post a Comment