Pages

Monday, September 15, 2014

Ebola ragut nyawa doktor keempat di Sierra Leone



PEKERJA kesihatan membakar peralatan yang digunakan bagi merawat pesakit Ebola di tengah Conakry di Guinea kelmarin.


FREETOWN - Seorang lagi doktor meninggal dunia menjadikan doktor keempat maut semasa berkhidmat merawat mangsa-mangsa yang dijangkiti wabak Ebola, kata seorang pegawai kerajaan semalam.
Ketua Pegawai Perubatan, Dr. Brima Kargbo berkata, mangsa, Dr. Olivet Buck meninggal dunia kelmarin sejam selepas Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan pihaknya tidak dapat membantu membawa mangsa ke Jerman bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Sierra Leone sebelum itu telah meminta dana daripada WHO untuk membawa mangsa ke Eropah kerana tidak mahu kehilangan doktor yang maut akibat wabak tersebut.
WHO bagaimanapun tidak berjanji dapat memenuhi permintaan itu, namun berusaha untuk memberikan penjagaan yang terbaik terhadap Buck di Sierra Leone termasuk akses penggunaan ubat-ubatan yang masih dalam percubaan.
Wabak Ebola yang merebak melalui sentuhan dengan badan pesakit yang dijangkiti memberi risiko kepada jururawat dan doktor terutama jika tidak menggunakan vaksin atau rawatan yang diluluskan.
Lebih 300 orang pekerja kesihatan telah dijangkiti wabak Ebola di Guinea, Liberia dan Sierra Leone dengan separuh daripada jumlah itu telah disahkan meninggal dunia, kata WHO.
Keadaan menjadi bertambah buruk apabila berlaku kekurangan doktor dan jururawat di beberapa buah negara di Afrika Barat yang banyak kehilangan anggota kesihatan mahir.
Setakat ini, hanya pegawai perubatan dan anggota pasukan bantuan dari negara asing yang dipindahkan dari Sierra Leone dan Liberia untuk menerima rawatan ke luar negara atau pulang ke negara masing-masing.
Doktor Sgeik Humarr Khan menjadi doktor pertama yang disahkan meninggal dunia selepas dijangkiti wabak Ebola sewaktu menerima rawatan di Eropah pada hujung Julai lalu. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0915&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3DKvIkC3D 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment