Pages

Saturday, August 9, 2014

Stefano kagum wanita berhijab


SRI DIAH
9 Ogos 2014

Stefano ketika sedang menjalankan tugasnya di Rome, Itali.
Stefano ketika sedang menjalankan tugasnya di Rome, Itali. 
Stefano bersama isteri yang banyak menyokongnya, Bayu Bintari Fatmawati.
Stefano bersama isteri yang banyak menyokongnya, Bayu Bintari Fatmawati.



DIA berusaha mencari kehidupan hakiki, ALLAH SWT membuka hati anak kelahiran Rome, Itali untuk mendekati Islam di bumi yang agama Kristian Katolik paling ramai di dunia.

Dalam pencariannya itu beliau mula rapat dengan komuniti Islam di kota cinta itu. Dia hidup dan menjalinkan hubungan baik bersama-sama mereka dalam pelbagai aktiviti Islam dan turut mempelajari Islam selama beberapa tahun.

Berusaha kenali Islam

Juru foto dan wartawan bebas untuk beberapa akhbar dalam talian di seluruh dunia, Stefano Romano, 40, berkata, beliau cuba mendekati Islam dengan caranya. Walaupun susah, memerlukan iman yang kuat dan banyaknya dugaan datang tanpa disangka, beliau tetap yakin Islam adalah agama yang sebenar.

"Akhirnya ALLAH membuka pintu hati ini untuk kembali kepada fitrahNya sebagai umat Islam dan tanggal 18 Oktober 2010 bertempat di Masjid Besar, Rome dengan tenangnya saya melafazkan syahadah.

"Bermulalah perjalanan hidup saya sebagai Muslim, saya mendalami selok belok agama Islam bersama kumpulan minoriti di sekitar Rome dengan niat untuk menjadi umat Islam sejati. Saya mahu menjadi insan yang taat akan perintah agama dan menjadi sebenar-benar Muslim," katanya.

Menurutnya, beliau lahir dalam keluarga yang kuat berpegang kepada ajaran Kristian, namun atas reda dan menghormati pendiriannya. Keluarga Stefano merestui pilihannya untuk menganut Islam.

Sebelum memeluk Islam lagi, Stefano yang dilahirkan pada tahun 1974 bergaul mesra dengan komuniti Islam yang terdiri dalam kalangan penduduk asal Itali.

Kerja-kerja dakwah

Kini, beliau terbabit dalam kerja-kerja dakwah bersama  pemastautin  Islam dari Indonesia dan Malaysia. Setiap hari dirinya terus istiqamah dalam takdir dan iman terhadap Islam.

Stefano kerap terlibat dalam aktiviti keagamaan bersama-sama golongan minoriti Benggali, Syria, Thailand dan Filipina.

“Sebagai insan yang tidak jemu mencari ilmu mengenai Islam, sesekali saya turut dipanggil untuk memberikan ceramah agama kepada komuniti lain. Saya turut diberi kesempatan untuk menyampaikan khutbah di Masjid Besar Rome.

“Kini dalam usaha untuk mendalami Islam, saya masih lagi memperkukuhkan bacaan saya dalam pengajian al-Quran. Saya masih mengikuti kelas mengaji di Kedutaan Besar Indonesia di Rome, pada setiap pagi Ahad," katanya yang mempunyai kelulusan dalam bidang Falsafah dan Psikologi dari salah sebuah universiti di Itali dan sangat mencintai keindahan seni foto dengan pengkhususan gambar potret.

Malah baginya minat terhadap bidang fotografi itulah membuatkan beliau jatuh cinta terhadap Islam. Beliau kerap menjadikan komuniti Bangladesh, Filipina, Indonesia dan Malaysia sebagai objek fokusnya dalam memotret.

Minat hijab, budaya kaum

Wanita, kanak-kanak, pemakaian hijab dan budaya sesuatu kaum antara fokus utama yang menjadi minat beliau. Budaya yang cantik dan melambangkan kesucian Islam adalah kecintaannya dalam membidikkan lensanya.

Dirinya kagum melihat wajah wanita yang berhijab. Pada wajah mereka yang polos itu terhampar cahaya iman yang sebenar. Stefeno selalu mencari-cari iman di wajah mereka, melihat ciri seorang wanita yang tetap cantik di sebalik hijab yang disarung.

Stefano mempunyai peminatnya yang tersendiri. Gambar yang beliau hasilkan selalu mendapat komen positif daripada peminat fotografinya. Mereka menanti-nantikan hasil karya beliau setiap kali selepas sesuatu acara disertainya.

Beauty must be always shared  - adalah motto Stefano dalam memotret. Beliau sangat berpegang pada hakikat sekeping gambar akan bercerita dengan sejuta perkataan.

Sebagai juru foto dan wartawan, Stefano banyak terlibat dalam kebanyakan aktiviti rasmi dan tidak rasmi di Kedutaan Besar Malaysia, Kedutaan Besar Indonesia dan Kedutaan Besa Filipina di Rome, Itali.

"Saya turut menyumbang tulisan dan karya fotonya ke akhbar-akhbar dalam talian di Indonesia, Filipina, Bangladesh, Thailand  dan Itali.

Aktiviti-aktiviti bersama komuniti di Rome mempunyai banyak keistimewaannya. Ada masanya, saya juga turut dipanggil untuk bertugas di daerah lain. Saya seronok melakukan pelbagai aktiviti fotografi.

"Perbezaan budaya dan cara pemikiran banyak mengajar saya untuk tidak berfikir secara individu. Keindahan akan terserlah jika kita bekerja dengan penuh minat dan tanggungjawab secara ikhlas. Dakwah saya untuk Islam ialah melalui fotografi. Saya ingin membetulkan rasa silap faham masyarakat Itali terhadap Islam,” ujarnya.

Terpaksa tutup aurat?

Bagi masyarakat Itali mereka menganggap wanita Islam yang menutup aurat adalah atas paksaan dan desakan suami atau ayah mereka. Hal ini semakin menjadi rumit apabila komuniti Arab di sana turut mengesahkan ajaran ini.

“Tanggapan inilah yang selalu saya perbetulkan. Inilah punca warga Itali menjadi anti kepada Islam dan mereka memandang serong terhadap penganut  Islam.”

“Agama lain tidak menerangkan menutup aurat bagi wanita adalah ajaran agama. Malah wanita yang tidak menutup aurat adalah berdosa. Namun bagi saya, wanita yang menutup aurat akan kelihatan begitu cantik. Itulah yang selalu saya abadikan menerusi lensa kamera saya,” katanya.

Ekspresi wajah wanita dan kanak-kanak adalah sumber penting bagi inspirasinya dalam memotret. Keindahan wajah wanita yang berwajah polos atau wajah kanak-kanak yang suci tanpa dosa adalah umpama wajah-wajah bidadari baginya.

Pada 8 Ogos ini, beliau mengadakan bengkel fotografi di Yogyakarta. Sementara itu, 13 hingga 16 Ogos akan datang, Stefano bakal mengadakan pameran fotografinya di Jakarta. Beliau juga akan mengendalikan sesi memotret gambar wanita dan hijab bersama Yuma Fashion di Jakarta pada 13 Ogos.

No comments:

Post a Comment