Pages

Thursday, July 24, 2014

Yahudi: Kaum terpilih yang tiada negara


KU HARIZ FARHAN KU AZMAN | .
KEBANGSATAN dan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis di Palestin semenjak 66 tahun lalu masih berterusan hingga ke hari ini. Terbaharu, umat Islam di Gaza diserang bertubi-tubi oleh rejim bacul ini ketika baru sahaja menyambut kedatangan Ramadhan 1435 H.

Dilaporkan jumlah kematian setakat hari ke-11 pertempuran, melebih angka 200 jiwa manakala ribuan yang lain mengalami kecederaan. Namun, rejim Zionis sedikitpun tidak merasa bersalah atas jenayah yang mereka lakukan ini malah mendabik dada mengaku bahawa mereka adalah pihak yang ‘mempertahankan diri’ sementara pihak Palestin dituduh sebagai pihak yang ‘menyerang’.

Ini dapat dilihat dalam kebanyakan laporan media barat dan Zionis yang rata-rata meletakkan kondisi sebegitu rupa. Masyarakat dunia dan umat Islam khususnya berasa jelik dengan permainan kotor mereka.

Mengapakah tiada rasa penyesalan dalam diri mereka apabila menyerang rakyat Palestin yang tidak berdosa ini? Adakah kerana mereka ini digolongkan sebagai ‘bangsa yang dipilih tuhan’ menyebabkan mereka berasa lebih mulia dari bangsa lain dan menjadi tiket untuk menindas bangsa lain yang dianggap sebagai ‘goyem’ atau binatang? Kita perlu mengkaji latar belakang sejarah bangsa mereka bagi mencari sebab musabab yang mempengaruhi tabiat dan sifat mereka pada hari ini.

Asal usul kaum Yahudi

Bangsa ini berasal dari keturunan yang bukan sembarangan. Mereka berasal daripada keturunan Nabi Ibrahim a.s. yang turut dikenali sebagai ‘bapa-bapa sekalian nabi’. Nabi Ibrahim mempunyai dua orang Isteri dan melalui kedua-dua lahir para nabi. Melalui isterinya Sarah a.s. lahirkan Nabi Ishak a.s.

Melalui Nabi Ishak a.s., lahir Nabi Yaakub a.s. dan daripada baginda lahir para nabi yang diturunkan kepada Bani Israel seperti Nabi Yusuf, Nabi Musa, Nabi Harun, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Yahya, Nabi Zakaria dan Nabi Isa a.s.

Sementara melalui isterinya siti Hajar pula lahir Nabi Ismail a.s., dan melalui Nabi Ismail lahir seorang sahaja nabi iaitu Nabi Muhammad SAW.

Nabi Yaakub dikurniakan seramai 12 orang anak, iaitu:
1.    Rubin
2.    Simeon (Sham’un)
3.    Levi
4.    Yahuza (Yahuda)
5.    Zebulaon
6.    Isakhar
7.    Dann
8.    Gad
9.    Aser
10.    Naftali
11.    Yusuf
12.    Benjamin (Bunyamin)

Sebagaimana yang dikhabarkan dalam surah Yusuf, ayat 4:

“Ketika Nabi Yusuf a.s. menyatakan kepada ayah baginda, iaitu Nabi Yaakub a.s.: Wahai ayahanda, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas butir bintang, matahari dan bulan. Aku melihat semua ini sujud kepadaku.”

Melalui keturunan Levi, diutuskan Nabi Musa, Nabi Harun, Nabi Ilyas dan Nabi Ilyasa. Manakala Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Zakaria, Nabi Yahya dan Nabi Isa diutuskan melalui keturunan Yahuda dan hanya seorang nabi diutuskan melalui keturunan Benjamin, iaitu Nabi Yunus a.s. Bangsa Yahudi dipercayai lahir dari keturunan Yahuza, iaitu abang kepada Nabi Yusuf a.s.

Jikalau diselidiki, Bani Israel diberi banyak kelebihan oleh Allah ke atas mereka seperti diutuskan para nabi dan rasul, diberi kelebihan berbanding umat lain di alam ini dan dikurniakan pelbagai nikmat sepeti hidangan al manna dan as salwa. Namun mereka tidak bersyukur di atas kurniaan tersebut malah bertindak dengan melakukan kemungkaran terhadap ajaran Allah. Jikalau kaum ‘Aad dan Thamud dibinasakan terus dari muka bumi akibat keingkaran mereka tehadap ajaran Allah, kaum Bani Israel tidak menerima nasib yang sama seperti mereka malah dilepaskan daripada segala azab dan ujian yang menimpa mereka .Walau bagaimanapun, selepas setiap kali dibebaskan daripada ujian mereka kembali engkar dan kufur terhadap janji yang mereka ikrarkan kepada Allah dan para nabi mereka.

Nabi Musa mengemudi Bani Israel

Ketika Nabi Yusuf a.s. menjadi pembesar di Mesir, jumlah kaum Bani Israel telah berkembang dengan banyaknya dan mereka hidup dalam keadaan aman sehinggalah mereka menjadi lalai dan melupakan ajaran Allah dan kembali menyekutukan-Nya. Lalu Allah menurunkan bala dan menjadikan kaum ini sebagai hamba ketika zaman pemerintahan Firaun.

Setelah itu, Allah mengutuskan Nabi Musa a.s. untuk memimpin Bani Israel agar kembali mengesakan-Nya dan baginda ditugaskan oleh Allah untuk menyelamatkan kaumnya daripada kezaliman Firaun. Akhirnya baginda berjaya membawa keluar kaumnya dari Mesir dengan menyeberangi Laut Merah. Peristiwa ini telah dikisahkan dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan (kenangkanlah) ketika Kami belahkan laut untuk kamu lalui (kerana melarikan diri daripada angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.” (Surah Al Baqarah, ayat 50)

Setelah diselamatkan dari kekejaman Firaun, baginda dan kaumnya menerima perintah daripada Allah untuk memasuki bumi Kanaan (Palestin) di mana mereka diarahkan untuk memerangi sebuah kaum yang kuat di sana.

“Mereka berkata: Hai Musa, kami sesekali tidak akan memasukinya selama-lamanya selagi mereka ada di dalamnya. Kerana itu, pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini sahaja.”(Surah al-Maidah,ayat 21)

Keengganan mereka terhadap perintah tersebut menyebabkan kaum Bani Israel dihukum dengan disesatkan di Padang Pasir Teh selama 40 tahun. Ketika tempoh tersebut, baginda dan saudaranya iaitu Nabi Harun a.s. telah wafat dan Allah telah mengutuskan Yusha’ bin Nun untuk mengelapai kaum Bani Israel.

Akhirnya mereka berjaya memasuki dan menawan bumi Kanaan dan bermulalah penguasaan mereka ke atas tanah Kanaan dengan terbentuknya Kerajaan Bani Israel. Tidak beberapa lama selepas itu Yusha’ bin Nun wafat dan mereka kembali mensyirikkan dan mengingkari ajaran Allah. Natijah daripada perbuatan mereka itu menyebabkan turunnya bala dan kesusahan oleh Allah melalui penjajahan oleh kaum Madyan yang dipimpin oleh Jalut dan para tenteranya.

Bani Israel dipimpin Nabi Daud

Kemudiannya Allah membangkitkan Nabi Daud dan Talut bagi menewaskan Jalut dan tenteranya.Setelah berjaya menewaskan Jalut, baginda memimpin Bani Israel untuk kembali memasuki bumi Kanaan dan menetap di sana. Baginda telah menjadi pemerintah buat Bani Israel berpandukan kitab Zabur. Kisah mereka diberitakan dalam al-Quran melalui surah Baqarah, ayat 249 hingga 251.

Apabila Nabi Daud wafat, putera baginda iaitu Nabi Sulaiman mengambil alih tampuk kepimpinan Bani Israel dan baginda memerintah kaumnya berpandukan kitab Taurat dan juga Zabur. Ketika itu Bani Israel berada di zaman kemuncaknya.

Sejarah pemerintahan Bani Israel di bumi Kanaan dapat dibahagikan kepada tiga fasa.Fasa pertama atau fasa awal dikenali sebagai Zaman Kehakiman yang berlanjutan selama 400 tahun dan dipimpin oleh seorang hakim yang bersilih ganti dan bertanggungjawab memutuskan hal-hal kemasyarakatan mereka.

Fasa kedua pula dinamai sebagai Zaman Beraja di mana raja-raja telah bertanggungjawab memimpin Bani Israel. Raja-raja ini terdiri daripada pesuruh Allah dan para nabi yang memimpin kaum mereka berdasarkan peraturan yang ditetapkan. Antara mereka termasuklah Nabi Daud dan Nabi Sulaiman yang menjadi raja Bani Israel yang terkenal. Ketika itu Bani Israel berada di ambang kemuncak kegemilangan mereka.
Nabi Sulaiman memegang tampuk pemerintahan selama 40 tahun. Ketika zaman pemerintahan baginda, sebuah rumah ibadat kepada Allah telah dibina iaitu Haikal Sulaiman.

Fasa terakhir dalam sejarah penguasaan Bani Israel di Kanaan dikenali sebagai Zaman Perpecahan - berlaku setelah kewafatan Nabi Sulaiman yang menyebabkan terjadinya perebutan kuasa antara Yarbi’an bin Nabath dengan Rahbian. Perselisihan tersebut mengakibatkan wilayah Bani Israel terbahagi kepada dua; wilayah selatan yang dinamakan Yahuza dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara dan dipimpin oleh Rahbian .Wilayah kedua ialah wilayah utara yang dipimpin oleh Yarbi’an beserta sepuluh lagi suku Bani Israel dengan Nablus atau Samarria sebagai ibu kota.

Zaman penindasan Bani Israel

Tidak berapa lama kemudian iaitu pada tahun 722 Sebelum Masihi, pemerintahan Bani Israel di Kanaan telah dijajah oleh bangsa Assyria yang dikepalai oleh rajanya yang bernama Sarjun. Ramai penduduk berbangsa Bani Israel ditawan dan dibawa pulang ke Assyria. Sejak itu, nasib sepuluh kaum Bani Israel ini tidak dapat diketahui dan hilang. Wilayah Yahuza pula telah ditawan oleh puak Fira’unah pada tahun 603 SM. Akibat kejatuhan kedua-dua pemerintahan Bani Israel ini, ramai kaum Bani Israel yang telah dibunuh dan ditawan. Sebahagian lagi lari bertaburan menyelamatkan diri ke wilayah-wilayah lain.

Pada tahun 586 SM, kerajaan Babilon yang diketuai oleh Nebuchadnezzar atau Bukhtansar telah bertindak menawan bumi Kanaan. Baginda turut mengusir puak Fira’unah dan telah menghancurkan negara Yahuza. Semua rakyat berketurunan Bani Israel ditawan dan dibawa ke Babilon. Ramai daripada mereka yang dibunuh dan sebahagian lagi dijadikan hamba abdi dan menurut ahli sejarah, antara yang ditawan oleh Raja Bukhtansar termasuklah Nabi Daniel.

Kekuasaan Empayar Babilon tidak bertahan lama. Kota Babilon telah ditakluk oleh seorang raja Parsi yang bernama Cyrus pada tahun 538 SM. Baginda telah bertindak dengan membebaskan kaum Bani Israel daripada perhambaan dan kezaliman kaum Babilon. Mereka kembali ke Kanaan dan memulakan kehidupan di sana. Bahkan Raja Cyrus turut membina semua Haikal Sulaiman yang telah dibina semasa pemerintahan Nabi Sulaiman.

Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak berkekalan apabila orang Rom melakukan penaklukan terhadap kaum Bani Israel pada tahun 136 SM. Kaum Bani Israel cuba memberontak dan menentang Kerajaan Rom tetapi mereka dikalahkan oleh Raja Rom yang bernama Adryan. Kanaan telah ditawan mengakibatkan Bani Israel terpaksa melarikan diri dan hidup di merata tempat dan keadaan berpecah belah.

Nabi Isa penerus legasi risalah Tauhid

Tidak lama kemudian, Allah telah mengutuskan Nabi Isa sebagai rasul kepada Bani Israel, bertujuan membawa mereka yang hidup dalam kesesatan ke jalan yang benar.

Baginda telah mencela perbuatan kaum Bani Israel terutama para rahib atau pendetanya kerana mereka mensyirikkan Allah dan tergelincir dari landasan ajaran Allah yang sebenar iaitu agama yang dibawa oleh Nabi Musa dan Nabi Daud melalui kitab Taurat dan Zabur. Setelah dihasut oleh tukang-tukang tenung dan ahli sihir, para rahib Yahudi telah berpakat untuk pergi menemui Maharaja Rom. Mereka telah membuat fitnah terhadap Nabi Isa menyebabkan Maharaja Rom mengelurkan arahan agar Nabi Isa ditangkap dan dibunuh.

Namun, Allah telah mengangkat baginda ke langit dan tentera Rom telah menangkap salah seorang daripada rahib Yahudi yang telah diserupakan mukanya dengan Nabi Isa menyebabkan timbulnya dakwaan bahawa baginda telah mati disalib.

Penjajahan kuasa Rom ke atas bumi Kanaan berlaku sebanyak dua kali iaitu pada tahun 136 SM dan sekali lagi pada tahun 70 Masihi. Ia merupakan babak-babak terakhir dalam sejarah pemerintahan Bani Israel di bumi Kanaan. Setelah itu, Bani Israel diusir keluar dari bumi Kanaan dan diharamkan daripada memasuki bumi tersebut. Sesiapa di antara mereka yang berusaha untuk memasukinya pasti akan berhadapan dengan hukuman bunuh dan bermulalah era kehidupan kaum Bani Israel atau bangsa Yahudi yang tidak memiliki sebuah negara sendiri sehinggala penubuhan negara Israel pada tahun 1948.


Kaum Yahudi pada zaman Nabi Muhammad SAW

Apabila baginda diutuskan di Makkah dan berhjrah ke Madinah sekitar tahun 622-623 Masihi, terdapat tiga suku kaum orang Yahudi yang tinggal di situ. Mereka adalah keturunan Yahudi yang lari menyelamatkan diri akibat penaklukan Baitulmuqaddis pada tahun 70 Masihi. Suku kaum tersebut adalah Bani Qainuqa, Bani Nadhir dan Bani Quraizah.

Bapak borek, anak rintik. Begitu juga dengan ketiga-tiga suku ini. Mereka masih mewarisi sikap buruk nenek moyang mereka sejak zaman Nabi Musa hinggalah ke zaman Nabi Daud dan Nabi Sulaiman. Mereka terdiri daripada kaum yang sombong, bongkak, menganggap mereka kaum yang istimewa, lebih mulia dan cerdik daripada penduduk setempat. Mereka memonopoli keadaan ekonomi di Madinah pada waktu itu. Mereka juga cuba mendominasi keadaan politik dengan melaga-lagakan dua suku Arab yang utama iaitu suku Aus dan suku Khazraj.

Apabila Rasulullah datang ke Madinah, ramai para pembesar suku Aus dan Khazraj memeluk agama Islam. Kedua-dua kaum tersebut kemudian dipersatukan dan dikenali sebagai Ansar. Baginda kemudiannya telah bertindak menggubal Perlembagaan Madinah yakni ketiga-tiga suku kaum Yahudi telah menandatanganinya dan berjanji untuk menerima Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin negara.

Kehadiran baginda di Madinah dengan membawa ajaran Islam serta kejayaannya menyatukan suku kaum Aus dan Khazraj amat tidak disenangi oleh ketiga-tiga suku Yahudi tersebut.Mereka tidak senang melihat perdamaian yang terjalin antara suku Aus dan Khazraj malah tidak senang dengan peraturan yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW terutamanya larangan riba dan menipu dalam perniagaan.

Tidak cukup dengan itu, mereka mula merancang untuk melemahkan kekuatan umat Islam di Madinah seperti memonopoli ekonomi Madinah, membangkitkan permusuhan sesama orang Islam terutamanya dalam kalangan suku Aus dan Khazraj dan kemuncak kepada perlakuan jahat mereka ialah apabila mereka mengacau seorang wanita Islam yang pergi ke pasar pada suatu hari sehingga menyebabkan aurat wanita tersebut terbuka. Seorang lelaki Islam yang melihat kejadian tersebut segera masuk campur dan cuba mencegah perbuatan kaum Yahudi Bani Qainuqa itu menyebabkan berlakunya pergaduhan. Dalam insiden tersebut, lelaki Islam tersebut terbunuh.

Baginda telah bertindak memimpin tentera Islam menuju ke perkampungan Bani Qainuqa, belum sempat pertempuran meletus, mereka telah keluar menyerah diri dan berjanji akan keluar dari Madinah. Orang Yahudi Bani Qainuqa ini akhirnya berpindah ke sempadan Syria. Hal yang sama berlaku terhadap Yahudi Bani Nadhir yang merancang untuk membunuh Nabi Muhammad SAW, akhirnya mereka telah diserang dan diusir dari Madinah.

Penindasan demi penindasan yang dialami oleh Yahudi

Semasa berlakunya Perang Salib iaitu di antara kurun ke-11 hingga kurun ke-13, ramai orang Yahudi yang telah dibunuh. Pada tahun 1215, Majlis Gereja Katholik telah mengarahkan supaya semua orang Yahudi memakai tanda pengenalan. Pada tahun 1220, Raja Edward 1 iaitu Raja England ketika itu telah bertindak mengeluarkan perintah menghalau orang Yahudi dari bumi England. Perkara yang sama turut dilakukan oleh raja Perancis iaitu Raja Charles IV.

Pada abad ke-14 telah merebaknya satu wabak penyakit yang dikenali sebagai “Black Death” di Eropah. Akibatnya,beratus-ratus ribu orang penduduk Eropah telah mati. Ketika itu pembunuhan secara beramai-ramai ke atas orang Yahudi menjadi seperti satu kebiasaan. Raja Sepanyol telah bertindak menghalau keluar orang Yahudi dari negara mereka iaitu pada tahun 1492. Ini diikuti oleh Raja Portugal yang turut menghalau mereka pada tahun 1497.

Akibatnya orang Yahudi hidup merempat kerana mereka tidak diterima oleh mana-mana negara ketika itu. Empayar Uthmaniah mula menonjolkan kekuasannya. Orang Yahudi telah diterima untuk tinggal di Turki dan negara-negara Islam yang terletak di bawah kekuasannya. Mereka dilayan dengan baik tetapi dikehendaki membayar jizyah atau cukai perlindungan diri.

Di negara-negara Eropah Timur, orang Yahudi mengalami nasib yang lebih buruk. Sebagai contoh, pada tahun 1648 terdapat kira-kira setengah juta orang Yahudi di Poland. Tidak berapa lama kemudian iaitu sekitar tahun 1648 hingga 1658, sebahagian besar daripada mereka telah dibunuh dan harta benda mereka dirampas sementara kediaman mereka dimusnahkan. Apabila Poland Timur menjadi sebuah tanah jajahan atau wilayah di bawah kekuasaan Rusia antara tahun 1772 hingga 1796, orang Yahudi yang masih ramai tinggal di negara tersebut mendapat tekanan yang hebat. Mereka hilang hak-hak berniaga serta menuntut ilmu.

Selain itu, mereka juga tidak dibenarkan untuk tinggal di luar tempat-tempat yang tertentu, sesuatu yang menyamai amalan apartheid. Bahkan mereka menerima nasib yang lebih teruk daripada itu apabila Kerajaan Rusia telah bertindak membiayai pembunuhan orang Yahudi secara beramai-ramai. Salah satu daripadanya ialah membabitkan peristiwa yang berlaku dalam tahun 1881, iaitu orang Yahudi telah dibunuh beramai-ramai akibat pembunuhan yang berlaku ke atas Czar Alexander II.

Semuanya ini bukan semata-mata kerana kejahatan para pemerintah kerajaan Eropah tersebut, tetapi sebab-sebab serta kejadian yang menimpa orang Yahudi ketika itu adalah berpunca daripada kejahatan serta sikap buruk yang diamalkan oleh mereka. Orang Yahudi pada abad ke-17 dan 18 tersebut tidak dapat melepaskan diri mereka daripada perlakuan buruk nenek moyang mereka sejak zaman Nabi Musa. Mereka masih tetap melakukan perbuatan dan amalan-amalan yang bertentangan dengan ajaran yang terdapat dalam kitab Taurat.

Tidak semua Yahudi mendokong negara haram Israel

Terdapat beberapa golongan dan kumpulan dalam komuniti Yahudi sendiri yang tidak sehaluan dalam merestui penubuhan negara Israel. Salah satu kumpulan tersebut adalah Neturei Karta. Ia merupakan sebuah pertubuhan ultra Ortodoks Yahudi yang diketuai oleh beberapa orang pendeta atau rabbi Yahudi yang menentang penubuhan negara Israel. Pertubuhan ini bermula pada abad ke-18 yang dipimpin oleh Rabbi Yisroel Ben Eliezer. Pertubuhan ini menggelarkan diri mereka sebagai Perserikatan Yahudi Penentang Zionis dan telah ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1935.

Neturei Karta adalah perkataan dalam bahasa Yunani kuno yang membawa maksud “Penjaga Kota”. Gelaran ini berkait rapat dengan perjuangan mereka yang mendakwa bahawa mereka berpegang teguh dengan ajaran kitab Taurat dan bertanggungjawab menjaga kesucian kota Baitulmuqaddis yang bakal menjadi ibu kota Yahudi yang sebenarnya. Mereka menganggap bahawa negara Israel sekarang bukanlah sebuah negara Yahudi yang dijanjikan oleh Allah dalam kitab Taurat.

Mereka bahkan mendesak negara Israel sekarang dibubarkan dan mengecam pemerintahan negara Israel sekarang kerana penubuhannya adalah bertentangan dengan ajaran Yahudi sebenar iaitu seperti yang tercatat dalam kitab Taurat. Mereka mengecam penubuhan negara Israel yang ditubuhkan di atas darah rakyat Palestin.

Menurut kepercayaan para pengikut Neturei Karta, mereka percaya bahawa pengusiran kaum Yahudi dari bumi Palestin adalah satu ketentuan dan takdir daripada Allah. Mereka percaya bahawa kaum Yahudi terpaksa terus menjalani hukuman yang ditimpakan Allah kepada mereka yang menyebabkan mereka terusir dari bumi Palestin sejak 2,000 tahun yang lalu dan sehingga kini gagal mempunyai sebuah negara sendiri.

Keyakinan mereka bahawa apa yang dialami oleh kaum Yahudi termasuk pengusiran dari bumi Palestin serta kezaliman yang berlaku dan menimpa mereka termasuklah peristiwa holokos atau pembunuhan beramai-ramai di Jerman sebenarnya adalah satu hukuman daripada Allah terhadap bangsa Yahudi. Hal ini kerana mereka sedar sedar dan tahu bahawa bangsa Yahudi telah banyak berbuat onar dan kufur terhadap perintah Tuhan -  termasuklah membunuh para nabi yang diutus kepada mereka.

Sebuah lagi kumpulan atau pertubuhan Yahudi yang menentang penubuhan negara Israel ialah kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Agudath Israel. Mereka menganggap bahawa penubuhan negara Israel sekarang bukan bertujuan untuk memenuhi apa yang disebutkan dalam kitab Taurat iaitu: “Bumi istimewa yang dijanjikan oleh mereka.” ia sebaliknya lebih kepada untuk memenuhi matlamat politik pertubuhan Zionis.

Seorang pemimpin kumpulan Agudath Israel ini yang bernama Rabbi Yisroel Reisman dalam satu khutbahnya di Gereja Yahudi Agudath Israel di Brooklyn, New York pada 27 Disember 2012 menegaskan bahawa kesemua pendeta atau paderi Yahudi yang terkenal menentang keras penubuhan sebuah negara Israel. Penentangan tersebut adalah berdasarkan kepercayaan mereka terhadap kitab Taurat yang menyatakan sebuah negara Israel di atas bumi istimewa yang dijanjikan kepada kaum Yahudi akan berlaku dengan sendirinya apabila munculnya Sang Penyelamat atau al-Masih. Antara lain, beliau menyebut apa yang ditulis oleh Nabi Sulaiman yang bermaksud:

“Puteri-puteri Jerusalem, sesungguh Aku (Tuhan) telah membuat satu perjanjian dengan kamu bahawa kamu sekali-kali tidak akan membangkitkan atau mengejutkan kecintaan kamu terhadap Tanah Suci kecuali apabila tiba masanya!”(Lagu. Nyanyian 2:7)

Beliau seterusnya menerangkan bahawa adalah menjadi ajaran kitab Taurat bahawa orang Yahudi tidak boleh memaksakan penubuhan sebuah negara untuk orang Yahudi di bumi suci dengan kekerasan. Sebuah negara untuk orang Yahudi yang sekian lama diimpikan oleh mereka hanya akan terdiri apabila diizinkan atau ditakdirkan oleh Allah dengan terutusnya Sang Penyelamat atau al-Masih.

Kesimpulan

Jelaslah bahawa segala onar dan kebiadaban yang dilakukan oleh Yahudi Zionis di Palestin adalah natijah daripada segala kesengsaraan yang terpaksa ditempuhi oleh kaum tersebut semenjak ribuan tahun lalu. Penyeksaan, pengusiran dan diskriminasi yang diterima oleh mereka semenjak dahulu mempengaruhi pola tabiat dan kelakuan mereka yang suka berdendam dan tidak senang dengan bangsa lain.

Namun yang sadisnya, umat Islam pula yang menjadi mangsa kepada kondisi mereka padahal telah terbukti orang Yahudi dilayan dengan baik sepanjang Islam memerintah dunia ini. Faktor umat Islam yang dilalaikan daripada mengikuti ajaran Allah turut menyebabkan bumi suci Palestin menjadi mangsa robekan oleh kuasa-kuasa Barat yang didalangi oleh Zionis di belakangnya dan negara umat Islam hanya mampu menangis dari kejauhan melihat penderitaan rakyat Palestin. Sementara negara Arab yang berjiran diam tidak berlagu kerana telah diikat dengan segala perjanjian damai dengan Israel atau bersekongkol rapat dengan Amerika Syarikat selaku kuasa besar di rantau tersebut.

Ku Hariz Farhan Ku Azman, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber rujukan:
Sabaruddin Hussein. Yahudi, Syiah dan Dajal Penyebar Fitnah, Pemesong Akidah. 2014.PTS Islamika.
Shafie Abd. Rahman. Darah Yahudi, muslihat Yahudi menguasai dunia. 2014. Darul Taklim.

No comments:

Post a Comment