Pages

Wednesday, July 30, 2014

Manusia punca haiwan pupus


Haiwan bersaiz besar seperti gajah boleh pupus akibat kerakusan manusia. - AGENSI
CALIFORNIA 29 Julai - Saintis mendakwa, gelombang baharu kepupusan spesies haiwan melibatkan gajah, beruang kutub dan badak sumbu, telah pun berlaku dan tingkah laku manusia dilaporkan menjadi punca kepada keadaan itu.
Menurut ketua penyelidik dari Universiti Stanford, Rodolfo Dirzo dalam jurnal Science, berbanding dengan lima kepupusan sebelum ini akibat bencana alam dan asteroid yang memusnahkan spesies seperti dinosaur, kepupusan keenam ini membabitkan aktiviti manusia seperti peperangan, pencemaran, pertanian dan pemburuan.
Jelas Dirzo, keadaan itu disebabkan haiwan besar atau mega fauna mencatat kadar kelahiran yang rendah dan menghasilkan jumlah anak yang sedikit.
Saiznya yang besar pula, membuatkan haiwan-haiwan itu terdedah kepada aktiviti pemburuan.
"Kepupusan haiwan-haiwan yang dinyatakan boleh memberi kesan negatif kepada spesies lain dan kesihatan manusia," katanya seperti laporan Mail Online.
Dirzo yang juga seorang pensyarah biologi berkata, satu penyelidikan dijalankan di Kenya di mana saintis memerhatikan sebuah kawasan tanpa kehadiran haiwan-haiwan besar seperti kuda belang, zirafah dan gajah.
Dalam kajian itu, kumpulannya mendapati, lokasi tersebut kemudian ditumbuhi belukar dan rumput sekali gus menjadi kawasan pembiakan tikus selain kepadatan tanah menjadi kurang.
"Bilangan tikus yang banyak meningkatkan risiko penyakit bawaan haiwan itu. Kitaran ini agak membimbangkan sekiranya benar-benar berlaku," katanya.
Dirzo berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan populasi manusia yang semakin bertambah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140730/lu_04/Manusia-punca-haiwan-pupus#ixzz38tjGFSB6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment