Pages

Thursday, July 10, 2014

Kisah menarik tentang bersedekah di Mekah


http://www.pendapatanda.com | .
Ini kisah menarik tentang amalan bersedekah yang dilakukan oleh seorang hamba Allah ketika berada di Tanah Suci Mekah. Kisah ini saya terdengar ketika sedang memandu di kawasan Kedah dalam satu atau dua bulan sudah.
Macam biasa bila memandu seorang diri atas lebuh raya, saya akan buka radio yang ada orang bercakap sebagai teman memandu. Tak dengar CD sebab semuanya rakaman dan bukannya perbualan secara live.

Jika buka radio terutamanya siaran radio tempatan, saya boleh dengar celoteh DJ secara live dan menyegarkan. Terasa macam ada orang hidup sedang berbual dengan kita yang boleh menghilangkan mengantuk.

Hari itu saya memandu menuju ke Pulau Pinang dari Kuala Perlis dan ketika melalui tanah Kedah kebetulan ada siaran radio yang berbicara tentang agama. Radio itu menjemput seorang Ustaz yang saya tak ingat siapa namanya sebab masuk siaran sekerat jalan.

Ustaz kongsi cerita menarik tentang sedekah

Ustaz ketika itu menceritakan tentang amalan sedekah dan kaitannya dengan mengikhlaskan diri. Katanya kalau nak bersedekah, kita berikan saja pada orang yang mahu disedekahkan tanpa berfikir dua atau tiga kali. Tak payah nak pandang ke belakang lagi selepas itu.

Ustaz itu lalu menceritakan pengalamannya pergi ke Mekah dengan seorang hamba Allah yang banyak duit. Hamba Allah itu berazam mahu banyak bersedekah ketika ditanah suci Mekah selepas tahu betapa baiknya amalan tersebut.

Apabila sampai di Mekah, hamba Allah itupun mula melakukan apa yang diniatkannya. Setiap kali bertemu dengan orang susah dia akan berikan wang. Tidak berhenti dia menghulurkan wang dan banyaklah jumlah wang yang disedekahkannya pada orang yang dilihatnya susah.

Satu hari dia sedang melakukan ibadah dan amalan sedekahnya di Masjidilharam macam biasa. Ada seorang pemuda yang elok rupa parasnya dan baik tubuh badannya sentiasa mengikuti Hamba Allah itu ke mana saja dia pergi.

Pemuda itu hanya melihat saja dia bersedekah tanpa buat apa-apa. Bila hamba Allah itu balik ke hotelnya, pemuda itu mengekori dari belakang dan ini disedari oleh hamba Allah tersebut. Bila dah hampir sampai ke hotel diapun menunggu pemuda itu dan memanggilnya.

Pemuda itu datang dan dia bertanya kenapa asyik mengekorinya dari tadi sampai sekarang. Pemuda itu tak kata apa-apa tapi dia mengangkatkan tangannya memohon sedekah dari Hamba Allah tersebut.

Melihat itu, dia lalu berkata kamu sihat tubuh badan, pakaian kemas dan rapi kenapa nak minta sedekah pula. Tak payah nak mengada-ngada. Pergi! jangan ikut aku lagi. Hamba Allah itu lalu berpaling dan meneruskan jalannya balik.

Tiba-tiba dia teringat akan azamnya yang nak banyak bersedekah, lalu dia berpaling semula ke belakang dengan cepat untuk melihat pemuda tadi. Tiada sesiapa di belakangnya itu. Pemuda itu hilang begitu saja tanpa dapat dikesan.

Selepas melalui pengalaman itu, dia terus bergegas mendapatkan ustaz dan menceritakan pengalamannya tersebut dan nampaknya dia rasa amat menyesal dengan sikapnya. Apakah dia tewas diuji dengan niatnya untuk berbanyakkan amalan bersedekah?

Apa pendapat anda dengan kisah menarik di atas?

Apa agaknya yang kita dapat belajar dengan kisah sebegitu sebagai pedoman dalam kehidupan kita. Adakah itu satu contoh bahawa kalau nak bersedekah tak payah nak selidik lagi pada siapa kita berikan sedekah tersebut?

Atau adakah urusan menyelidik pada siapa kita nak bersedekah itu tak perlu dilakukan jika kita berada di Tanah Suci Mekah?

Secara logiknya, semua orang tahu bahawa niat tidak menghalalkan cara. Jadi walaupun niat kita itu baik untuk sedekah pada orang miskin, kalau dah tahu bahawa orang-orang miskin itu sebenarnya menjadi pencacai secara paksa daripada pemeras keringat orang susah yang kejam, kenapa kita perlu terus juga memberikan wang pada mereka sedangkan kita tahu wang itu akan pergi pada manusia berhatibinatang tersebut?

Kalau kita dah tahu ada banyak penipu ambil kerja mudah jadi peminta sedekah sedangkan mereka kaya raya banyak duit hasil dari kerja minta sedekah itu, kenapa kita perlu juga berikan sedekah. Bukankah niat tidak menghalalkan cara...?

Kalau kita tahu bahawa ada orang yang mempergunakan kanak-kanak untuk ke hulu dan ke hilir untuk minta sumbangan atau sedekah dan wang yang kita salurkan pergi pada orang yang ambil kesempatan tu, kenapa kita perlu sedekah juga pada mereka? apakah niat baik kita menghalalkan cara bersedekah kita yang pastinya pergi pada orang yang tak guna...?

Apa pendapat anda?

No comments:

Post a Comment