Pages

Wednesday, June 4, 2014

Hagia Sophia

WARTAWAN SINAR HARIAN
Hagia Sophia adalah simbol keagungan empayar Turki Uthmaniyyah pada era 1400-an hingga 1500-an.
Hagia Sophia adalah simbol keagungan empayar Turki Uthmaniyyah pada era 1400-an hingga 1500-an. 
4 Jun 2014
PULUHAN ribu umat Islam di Turki mengerjakan solat berjemaah di luar masjid teragung dan tercantik di dunia, Hagia Sophia (Aya Sofia).

Media tempatan melaporkan ia adalah sebagai usaha menggesa Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan menjadikan ia semula sebagai masjid teragung di negara itu.

Ketua Persatuan Pemuda Anatolia, Salih Turan memaklumkan 15 juta orang menandatangani petisyen untuk merealisasikan impian jutaan orang Islam di Turki.

"Hagia Sofia adalah simbol dunia Islam dan penaklukan empayar Turki Uthmaniyyah dan Sultan Muhammad al-Fateh di Istanbul," katanya.

Difahamkan, selama hampir 500 tahun Hagia Sophia menjadi masjid utama di Istanbul pada 1453 selepas ia diubahsuai daripada gereja besar Kristian Ortodoks.

Bagaimanapun, undang-undang sekular Turki pada 1934 menghalang sebarang kegiatan agama diadakan di masjid yang menjadi tinggalan sejarah abad ke-6 itu dan ia dipercayai berkuatkuasa hingga kini.

November lalu, Timbalan Perdana Menteri, Bulent Arinc pernah memberi harapan kepada orang Islam di Turki bahawa Hagia Sophia akan dibuka semula sebagai masjid. 

Tetapi, pada 2012, Erdogan pernah menolak cadangan menukar status Hagia Sophia dan masjid Sultan Ahmed yang dibina pada abad ke-17.

Sementara itu, penasihat kanan perdana menteri, Ibrahim Kalin menegaskan, Erdogan tidak bercadang untuk menukar status semasa masjid yang dijadikan muzium sejak 80 tahun lalu.

"Ia hanya spekulasi, kerajaan belum membuat keputusan. Hagia Sophia akan kekal menjadi tempat bersejarah untuk kunjungan pelancong," katanya.

Sementara itu, Hellenic American Leadership Council (HALC) membuat petisyen dalam talian untuk mendapat sokongan bagi membantah tindakan mana-mana pihak yang mahu menjadikan semula Hagia Sophia sebagai masjid.

Tujuan utama mereka adalah untuk menghantar mesej kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) yang menyenaraikan Hagia Sophia sebagai Tapak Warisan Dunia.

Mereka berpendapat, tinggalan sejarah berharga di Turki itu sepatutnya kekal sebagai muzium dan dibuka kepada orang ramai.

Sehingga kini, hampir 30,000 orang menandatangani petisyen tersebut walaupun sasaran awal mereka adalah untuk memperoleh 20,000 tandatangan.

No comments:

Post a Comment