Pages

Friday, June 13, 2014

Diperkosa di balai polis


Lucknow: Seorang wanita semalam mendakwa dirogol empat anggota polis di sebuah balai di Uttar Pradesh.

Kejadian itu ialah kes terbaru dalam siri serangan seksual yang mengejutkan di India.


Menurut wanita itu, dia pergi ke balai di daerah Hamirpur malam Isnin lalu untuk meminta suaminya dibebaskan dari lokap sebelum dia diserang polis yang berada di situ.



“Pada 11.30 malam (waktu tempatan) ketika tiada orang di situ, keempat-empat anggota itu membawa saya ke sebuah bilik dan merogol saya bergilir-gilir,” katanya.


Wanita berkenaan melaporkan kejadian berkenaan kepada seorang pegawai kanan kelmarin dan mendakwa ia berlaku selepas dia enggan memberi rasuah yang diminta untuk membebaskan suaminya.


Jurucakap polis, Virendra Kumar Shekhar berkata, siasatan akan dijalankan bagi mengenalpasti dan menahan suspek terbabit.

“Kami akan mengikut prosedur, mangsa sudah membuat laporan dan mereka yang bersalah akan ditahan tidak lama lagi,” katanya, semalam.


Sub-Inspektor Balbir Singh berkata kes membabitkan empat pegawai dari balai berkenaan diletakkan di bawah kes jenayah.

Kes serangan seksual terbaru di Uttar Pradesh itu meningkatkan lagi tekanan politik ke atas ketua menterinya, Akhilesh Yadav.


Hujung bulan lalu, dua gadis berusia 12 dan 14 tahun dirogol beramai-ramai sebelum dibunuh dan mayat mereka digantung pada pokok.


Kejadian berlaku selepas mereka keluar untuk membuang air di kawasan lapang kerana rumah mereka tidak mempunyai tandas.


Keluarga mereka enggan menurunkan mayat berkenaan sebagai tanda protes kepada polis yang enggan bertindak kerana gadis itu datang dari keluarga kasta rendah. Perdana Menteri Narendra Modi kelmarin menggesa semua ahli politik bekerjasama bagi melindungi wanita, kenyataan pertamanya sejak kejadian itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/13

No comments:

Post a Comment