Pages

Tuesday, May 27, 2014

Rakyat Mesir mengundi pilih Presiden baharu


SEORANG lelaki mencium pipi bekas Ketua Tentera Mesir, Abdel Fattah al-Sisi yang membuang undi di sebuah pusat pengundian di Kaherah semalam.


KAHERAH - Berjuta-juta rakyat Mesir mula mengundi semalam untuk memilih Presiden baharu negara itu dalam pilihan raya yang dijangka dimenangi oleh bekas ketua tentera, Abdel Fattah al-Sisi.
Pilihan raya yang berlangsung selama dua hari tersebut merupakan yang pertama sejak al-Sisi menggulingkan Presiden Mohamed Morsi pada 3 Julai tahun lalu.
Pergerakan Ikhwanul Muslimin pimpinan Morsi tidak menyertai pilihan raya berkenaan dan beberapa kumpulan revolusi juga bimbang al-Sisi bakal menjadi diktator terbaharu Mesir.
Bagaimanapun, al-Sisi, 59, yang ditentang oleh seorang pemimpin berhaluan kiri, Hamdeen Sabbahi dijangka menang mudah dalam pilihan raya tersebut.
Seramai 53 juta pengundi mendaftar mula mengundi dalam pilihan raya tersebut yang bermula seawal pukul 6 pagi waktu tempatan.
"Seluruh dunia kini memerhati Mesir dan bagaimana kita menulis sejarah serta masa depan negara ini," kata al-Sisi selepas membuang undi di sebuah pusat pembuangan undi di sini semalam.
Jika memenangi pilihan raya Presiden, beliau akan menjadi Presiden terbaharu yang mempunyai latar belakang ketenteraan.
Pada 3 Julai tahun lalu, beliau mengetuai tentera untuk merampas kuasa ke atas Morsi yang merupakan orang awam pertama dipilih menerusi pilihan raya untuk menjadi ketua negara.
Morsi kini ditahan dan didakwa melakukan pengintipan dan menyebabkan keganasan berlaku di Mesir.
- AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz32rkAmxDC 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment