Pages

Wednesday, May 28, 2014

Lelaki pernah digelar paling gemuk meninggal dunia



URIBE


MONTERREY, Mexico - Seorang lelaki Mexico, Manuel Uribe yang pernah digelar sebagai manusia paling gemuk di dunia meninggal dunia pada usia 48 tahun, kata beberapa pegawai kelmarin.
Berat Uribe pernah mencecah sehingga 587 kilogram (kg) sebelum dia menjalani diet untuk mengurangkan berat badannya kepada 394kg.
Seorang pegawai di Hospital Universiti, Monterrey berkata, laporan awal menunjukkan dia meninggal dunia disebabkan masalah kadar degupan jantungnya yang tidak teratur dan penyakit berkaitan dengan kehilangan cecair pada kedua-dua kakinya.
Dia dimasukkan ke hospital itu pada 2 Mei lalu.
Sebuah kren digunakan untuk mengangkut Uribe yang berada di atas katilnya di rumahnya di bandar San Nicolas de los Garza ke hospital tersebut dengan dibantu para pekerja perkhidmatan kecemasan dan pasukan pertahanan awam.
Uribe berkahwin pada tahun 2008 dengan Claudia Solis yang berusia 38 tahun.
Sebuah stesen penyiaran Amerika Syarikat membeli hak penyiaran majlis perkahwinannya yang dihadiri kira-kira 400 orang tetamu itu.
Dia diiktiraf sebagai lelaki paling gemuk di dunia oleh Guinness World Records pada tahun 2007.
Bagaimanapun, ekoran berat badannya semakin meningkat, hubungan baik dengan isterinya semakin merosot.
"Dia (Solis) meminta saya menceraikannya. Saya berasa amat murung," kata Uribe sebelum ini.
Uribe pada mulanya merupakan seorang remaja yang mempunyai berat hanya 113.39kg.
Namun, pada tahun 1992, berat badannya mula meningkat.
Pada tahun 2007, dia pernah memberitahu saluran televisyen ABC News: "Saya mempunyai masalah obesiti sejak bertahun-tahun lamanya. Berat badan saya bertambah dari semasa ke semasa."
Menurutnya, dia makan sama seperti penduduk Mexico yang lain.
Antara makanannya itu ialah hamburger, kentang goreng, piza, kacang, nasi dan makanan tradisi Mexico iaitu jagung tortilla.
Uribe ketika itu berkata, dia bekerja sebagai juruteknik, membaiki mesin taip, mesin pengira elektronik dan komputer yang menyebabkan dia hanya duduk di atas kerusi.
Sejak tahun 2002, Uribe mula terbaring di atas katil dan terpaksa bergantung kepada ibu dan rakan-rakannya untuk memberinya makanan dan membersihkan badannya.
Mayat Uribe kemudian dibakar di sebuah pusat pengurusan mayat di sini. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0528&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz32xj6JOmk 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment