Pages

Monday, May 19, 2014

Keluarkan wang tanpa kad


Teknologi imbasan saluran darah, Finger Veins yang diperkenalkan oleh Hitachi dan ITCARD S.A akan dipasang pada ATM di seluruh Poland bagi memudahkan orang awam mengeluarkan duit tanpa perlu membawa kad bank. - AGENSI
TOKYO 18 Mei - Anda mungkin perlu melupakan penggunaan kad bank dan nombor pin tidak lama lagi selepas syarikat teknologi Jepun, Hitachi memperkenalkan teknologi biometrik ‘Finger Vein’ yang membolehkan pengguna mengeluarkan duit daripada mesin juruwang automatik (ATM) hanya dengan mengimbas saluran darah pada jari.
Mail Online melaporkan, Hitachi dengan kerjasama perkhidmatan bank Poland, ITCARD. S.A telah menjalankan projek yang dikenali sebagai Planet Cash dan memasang teknologi itu di beberapa buah bank di Poland.
Jelas laporan itu, kedua-dua firma terbabit akan mengembangkan kemudahan terbaharu tersebut kepada masyarakat umum dengan memasang teknologi berkenaan di kira-kira 1,750 ATM menjelang hujung tahun ini sebagai usaha memudahkan orang ramai mengeluarkan wang tanpa membawa kad bank.
Bagaimanapun, Hitachi masih belum mengumumkan rancangan untuk mengembangkan teknologi itu ke negara lain.
Ketua Pegawai Eksekutif ITCARD S.A, Jaroslaw Chrzanowski dalam kenyataannya berkata, teknologi biometrik tersebut berfungsi dengan gabungan penggunaan kamera khas dan cahaya inframerah untuk mengimbas bentuk saluran darah pengguna.
Jelasnya, sebaik-baik padanan pengguna dan saluran darah disahkan, proses pendaftaran profil perlu dilengkapkan bagi mengenal pasti identiti pengguna.
"Teknologi ini telah digunakan pada ATM di beberapa sektor perbankan.
"Syarikat ITCARD mencetuskan revolusi baharu dalam pasaran dengan melancarkan rangkaian biometrik pertama di Eropah yang disediakan khas untuk kemudahan pengguna bank," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140519/lu_06/Keluarkan-wang-tanpa-kad#ixzz327RL957t
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment