Pages

Monday, April 7, 2014

Isteri sakit minta suami kahwin lain


Dubai: Dua wanita tempatan yang menghidap penyakit teruk memberi gambaran jelas mengenai cinta dan pengorbanan apabila meminta suami mereka berkahwin lagi.

Suami mereka bagaimanapun menolak permintaan isteri masing-masing.


Dalam dua kes berasingan dikendalikan Pusat Panduan Keluarga Kerajaan Dubai menyatakan ia terharu dengan apa yang berlaku kepada kedua-dua pasangan berkenaan. Kes pertama membabitkan seorang wanita yang menghidap barah dan mahu suaminya berkahwin lagi kerana merasakan dia tidak mampu melayan suaminya lagi.



“Wanita itu menemui kami selepas gagal memujuk suaminya untuk berkahwin. Katanya, suaminya sudah membawa dia ke pelbagai klinik dan hospital namun doktor gagal mengubatinya.


“Apabila kami memberitahu perkara itu pada suaminya, dia sekali lagi menolak dan memberitahu isterinya, ‘Saya gembira hidup bersama kamu, saya mahu melihat kamu pulih seperti sedia kala dan akan sentiasa berada di sisi kamu selamanya. Saya takkan mengahwini wanita lain,’” kata pengarah pusat berkenaan, Abdul Aziz Al Hammadi.


Akhbar Emarat Al Youm melaporkan, Abdul Aziz menyatakan seorang lagi wanita menderita penyakit tulang dan darah turut memujuk suaminya berkahwin lain kerana tidak mampu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri.

Dia juga merasakan yang dia tidak berlaku adil pada suaminya.


“Wanita itu memberitahu suaminya ‘Tolonglah berkahwin lagi. Saya gembira dan mahu kamu juga gembira,’ namun suaminya menjawab ‘terima kasih atas keprihatinan kamu terhadap saya, tetapi saya sudah berpuas hati dengan kehidupan bersama kamu. Apa yang penting kini adalah kesihatan kamu,’” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

No comments:

Post a Comment