Pages

Sunday, April 27, 2014

Aisberg seluas Singapura mula hanyut

Aisberg seluas Singapura mula hanyut
Rekahan aisberg seluas 660 kilometer persegi.
 WASHINGTON: Saintis kini memantau aisberg sebesar negara Singapura, salah satu rekahan ais terbesar yang pernah wujud. Ia pecah daripada glasier Antartika dan sedang menuju lautan terbuka.

Pakar glasier NASA, Kelly Brunt pada Rabu lalu berkata, aisberg itu meliputi kawasan seluas 660 kilometer persegi dan setebal 500 meter.

Dikenali sebagai B31, aisberg itu terpisah daripada Glasier Pulau Pine Antartica pada November lalu, kata Brunt.


“Ia adalah ketulan ais cukup besar untuk mencetuskan pemantauan,” kata Brunt dalam perbualan telefon, sambil mengesahkan pertubuhan kerajaan termasuk Pusat Ais Kebangsaan yang memerhatikan beberapa aisberg pada satu-satu masa.

Lokasi terkini aisberg itu bukanlah kawasan yang dipenuhi laluan kapal.

“Tiada banyak kapal melalui kawasan ini. Kami tidak bimbang mengenai laluan kapal. Kami tahu semua lokasi aisberg besar,” katanya.

Saintis amat tertarik dengan aisberg ini bukan saja disebabkan saiz besarnya tetapi ia berasal daripada lokasi yang tidak dijangka, kata Brunt. “Ia seperti kepingan kek yang terapung di Lautan Selatan,” katanya.
Rekahan glasier yang menghasilkan aisberg itu kali pertama dikesan pada 2001, menurut Brunt, seorang saintis di Pusat Penerbangan Angkasa Goddard NASA dan Universiti Negeri Morgan di Maryland.

Pulau Glasier Pine sudah dikaji secara dekat sejak dua dekad lalu kerana ia kian menipis dan mencair pantas. Ia mungkin penyumbang utama peningkatan paras air laut, kata saintis.

Mereka berkata, aisberg itu sudah terapung di sekitar Teluk Pulau Pine, kawasan perairan Laut Amundsen dan kemungkinan besar akan hanyut kerana arus deras Lautan Selatan. - REUTERS

No comments:

Post a Comment