Pages

Friday, April 25, 2014

Ahli perniagaan rugi hilang pankreas ‘berpenyakit’


Singapura: Seorang ahli perniagaan Malaysia memfailkan saman terhadap doktor dan sebuah pusat perubatan atas kecuaian mereka membuatkannya percaya dia menghidap barah pankreas.

Dalam perbicaraan kes samannya yang bermula di Mahkamah Tinggi Singapura semalam, Hii Chii Kok, 56, berkata, doktor di Pusat Kanser Kebangsaan Singapura (NCCS) mengesahkan dia menghidap barah dan dinasihati menjalani pembedahan.

Namun, selepas pembedahan dijalankan dan ujian lanjut dibuat ke atas pankreas yang dipotong itu, doktor mengesahkan ia tidak dijangkiti barah.

Ahli perniagaan berpangkalan di Kuala Lumpur itu memfailkan saman terhadap NCCS dan doktor yang menjalankan pembedahan, London Lucien Ooi kerana cuai melakukan pemeriksaan dan memberikan nasihat salah kepadanya.



Namun, defendan menafikan dakwaan itu dan menyatakan Hii tidak pernah diberitahu menghidapi barah.

Sebaliknya, menurut afidavit defendan, dua luka yang ada pada pankreas itu disyaki ketumbuhan dan masih belum disahkan sebagai kanser ketika itu.

Hii juga mengaku dia percaya hasil pemeriksaan doktor berdasarkan carian melalui Internet serta pendapat daripada doktor di Malaysia.

Hii yang juga pengarah urusan kumpulan Universiti SEGi dan pengarah eksekutif syarikat pelaburan HCK Capital Group meminta ganti rugi yang masih belum ditetapkan.

Peguamnya, S Palaniappan memberitahu mahkamah, pada Julai 2010, doktor yang merawat Hii di Malaysia menasihati dia menjalani pemeriksaan lanjut di NCCS berhubung benjolan pada paru-parunya.

Selepas melakukan pemeriksaan, kata Palaniappan, Hii diberitahu benjolan itu tidak mendatangkan masalah tetapi dia menghidap barah pankreas.

“Walaupun imbasan CT dan MRI serta ujian darah menunjukkan keputusan yang baik, Hii diberitahu dia menghidap barah,” katanya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/25

No comments:

Post a Comment