Pages

Thursday, March 13, 2014

Sedia kahwin lelaki tua untuk hapus hutang ayah


Riyadh: Seorang wanita menawarkan dirinya sebagai isteri pemiutang ayahnya yang berusia hampir 40 tahun lebih tua daripadanya.

Keputusan itu dibuat untuk mengelak ayahnya dipenjara kerana berhutang sebanyak SAR3 juta (RM2.6 juta) dengan lelaki itu.


Akhbar Al Watan melaporkan, wanita berusia 20-an itu sanggup berbuat demikian selepas ayahnya ditahan dan berdepan hukuman penjara.

“Wanita itu menghubungi pemiutang ayahnya dan menawarkan dirinya sebagai isteri dengan mas kahwin SAR3juta (RM2.6 juta).


“Lelaki itu bagaimanapun berkata dia jauh berusia daripadanya dan mempunyai tiga isteri. Wanita terbabit tetap bersedia mengahwininya.


“Mereka kemudian bersetuju berjumpa di rumah keluarga berkenaan, malah memanggil kadi untuk menyempurnakan majlis itu manakala lelaki terbabit datang bersama peguamnya,” lapor akhbar itu.

Selepas sejam berbincang, pemiutang itu mengucapkan tahniah kepada ‘bakal isterinya’ atas keberaniannya namun berkata dia enggan mengahwini wanita berkenaan disebabkan jarak usia mereka.

Menurutnya, dia mahu gadis itu mengahwini lelaki seusianya.

“Dia kemudian menulis cek bernilai SAR300,000 (RM262,350) yang diberikan kepada gadis berkenaan sebagai hadiah perkahwinan untuk digunakan apabila dia berkahwin.

“Dia menarik balik kes terhadap penghutangnya itu sebelum mendoakan Tuhan merahmati wanita itu,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/12

No comments:

Post a Comment