Pages

Wednesday, March 19, 2014

Rangka dijangkiti barah dijumpai


Anak panah menunjukkan tanda-tanda barah carcinoma metastatic pada serpihan tulang lelaki muda yang menghidap barah, 3,200 tahun lalu . - AGENSI
LONDON 18 Mac - Ahli-ahli arkeologi menemukan rangka manusia sempurna berusia 3,200 tahun yang dijangkiti barah dan mendakwa penemuan itu bakal membantu bagaimana penyakit yang menjadi antara punca kematian utama manusia itu mula berkembang.
Rangka milik seorang lelaki muda kaya itu ditemukan di sebuah kubur berhampiran Sungai Nil dekat Sudan tahun lalu dan sewaktu kematiannya, dia dipercayai hanya berumur di antara 25 hingga 35 tahun.
Rangka lelaki muda itu menunjukkan bukti berlakunya sel carcinoma metastatic.
Analisis turut membuktikan barah itu berpunca daripada ketumbuhan malignan tisu lembut dan merebak ke seluruh bahagian badan sekali gus menjadikannya contoh 'meyakinkan' barah metastatatic tertua pernah dijumpai.
Penyelidik-penyelidik dari Universiti Durham dan Muzium Britain berkata, penemuan rangka itu akan membantu penyelidikan mengenal pasti punca barah pada zaman purba dan menyediakan tanggapan baharu kepada evolusi barah pada masa lalu.
Penemuan rangka itu sekali gus bakal menangkis tanggapan saintis bahawa barah berpunca daripada gaya hidup moden dan peningkatan jangka hayat.
Penulis utama Jabatan Arkeologi Universiti Durham, Michaela Binder berkata, penemuan itu akan membantu mereka untuk memahami sejarah yang hampir tidak diketahui tentang penyakit itu.
"Kami hanya mempunyai beberaoa contoh (sebelum ini) iaitu pada tahun pertama milenium. Kami perlu memahami sejarah penyakit supaya dapat memahami dengan lebih baik bagaimana ia berkembang dan untuk itu, agak penting untuk mencari lebih banyak contoh,'' katanya sebagaimana lapor Mail Online.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140319/lu_04/Rangka-dijangkiti-barah-dijumpai#ixzz2wMZBkQSl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment