Pages

Monday, February 3, 2014

Sinabung meletus 15 maut


Seorang pasukan penyelamat memegang sebuah motosikal yang diliputi debu tebal ketika operasi menyelamat selepas Gunung Berapi Sinabung meletus di kampung Suka Meriah, di Karo wilayah Sumatera Utara, kelmarin. - REUTERS
JAKARTA 2 Feb. - Sebanyak 15 orang terkorban, manakala lebih 50 orang lagi dilaporkan hilang apabila Gunung Berapi Sinabung di Sumatera Utara menghamburkan lahar dan gas panasnya, semalam.
Gunung berapi itu yang mula aktif sejak September lalu, sekali lagi meletus semalam selepas beberapa hari reda.
Pasukan penyelamat, setakat ini menemui 15 mayat dan mendakwa jumlah kematian dijangka meningkat apabila sebahagian penduduk di situ yang dipercayai memanjat gunung itu untuk menuai jagung yang mereka tanam dilereng gunung tidak muncul di khemah perlindungan kecemasan.
"Kita terputus perhubungan dengan 50 orang penduduk," kata seorang penduduk Benny Kaban, seorang sukarelawan penyelamat dan kakitangan kementerian tempatan.
"Mereka biasanya pulang ke khemah perlindungan pada pukul 6 petang,'' kata seorang pegawai pengurusan bencana.
Menurutnya, sebahagian besar mangsa yang terkorban dipercayai dari sebuah perkampungan yang terletak kira-kira tiga kilometer dari puncak gunung Sinabung.
Kerajaan pada bulan lalu meningkatkan zon pengasingan dari lima kilometer kepada tujuh kilometer pada Jumaat lalu.
Media tempatan melaporkan tujuh daripada mereka yang terkorban adalah pelajar sebuah universiti Kristian di Medan, Sumatera Utara, yang merupakan sukarelawan yang membantu mencari mangsa yang hilang dalam bencana itu.
Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi itu dan menasihati penduduk terbabit supaya bersabar.
Gunung setinggi 2,460 meter itu mula meletus pada 4 Januari lalu menyebabkan lebih 26,000 penduduk sekitar terpaksa dipindahkan. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140203/lu_03/Sinabung-meletus-15-maut#ixzz2sCjgouI0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment