Pages

Thursday, February 13, 2014

Nelayan cekal balik kampung


Jose Salvador Alvarenga yang berkerusi roda hanya mampu menggelengkan kepala dan melambai ketika disambut puluhan wartawan serta jurugambar di lapangan terbang utama El Salvador, dua minggu selepas ditemui terdampar di pantai di Kepulauan Marshall. 
Alvarenga, 37, hanya menggumam perlahan ketika diserahkan mikrofon untuk menjawab soalan sebelum menyerahkan semula alat itu kepada Menteri Luar Jaime Miranda dan dilihat menutup matanya menggunakan tangan seterusnya dibawa keluar oleh pegawai yang hadir. 

Sementara itu Miranda menganggap kepulangan Alvarenga detik gembira bagi setiap warga El Salvador.
Foto
MIRANDA (kiri) mengatakan sesuatu kepada Alvarenga.

“Kisah pengembaraannya bukan saja satu perjalanan kerohanian, malah menunjukkan kecekalan semangat manusia untuk hidup,” katanya.

Alvarenga kemudian dibawa ke sebuah hospital untuk pemeriksaan lanjut sebelum doktor membenarkannya pulang ke perkampungannya yang ditinggalkan sejak 15 tahun lalu untuk mencari rezeki di negara jiran. 

Ibu bapa dan anak perempuannya Fatima, 14, tidak hadir di lapangan terbang itu sebaliknya menunggu kepulangannya di rumah mereka di Garita Palmera yang dihiasi belon biru, daun pokok palma dan kain rentang “Selamat Pulang”. 

Bapanya Ricardo Orellana dan ibu Maria Julia Alvarenga kali terakhir menemuinya lapan tahun lalu dan selama ini menyangka dia sudah meninggal dunia. 

Sementara itu, orang ramai yang hadir termasuk kakitangan lapangan terbang menepuk tangan ketika menyambut kepulangan Alvarenga. 

Walaupun ada yang mempertikaikan kisah menakjubkan itu, ramai juga yang mempercayainya termasuk beberapa rakan nelayan yang mengakui mencarinya selepas hilang ketika menangkap ikan di pesisiran pantai Mexico pada 2012. 

Alvarenga mendakwa mengembara sejauh 12,500 kilometer dalam botnya berukuran 24 kaki dengan hanya makan ikan serta camar mentah selain minum darah penyu yang berjaya ditangkap dan air kencingnya sendiri. 

Malangnya, rakannya Ezequiel Cordoba, 24, maut selepas kira-kira empat bulan. 
Keluarganya mahu menemui Alvarenga walaupun tidak menyalahkannya atas kematian pemudai tu. 

Sementara itu, sepupunya Marisol Alvarenga, 35, menyifatkannya wira. 

“Kalau diikutkan memang mustahil untuk dia hidup, namun sepupu saya memang kuat semangat. Kalau orang lain, mungkin lain kesudahannya. 

“Kami cukup gembira dia selamat dan akan pulang kepada kami selepas sekian lama,” katanya yang menyambut sepupunya di lapangan terbang.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/13

No comments:

Post a Comment