Pages

Saturday, February 15, 2014

Kampung ditimpa hujan abu dan batu

AP
SEORANG wanita menaiki sebuah motosikal di Solo ketika cuaca berdebu akibat debu Gunung Kelud semalam.


BLITAR - Beberapa penduduk di Jawa Timur menceritakan insiden ngeri kediaman mereka ditimpa hujan abu dan batu akibat letusan Gunung Kelud manakala seorang koresponden agensi berita AFP melihat beberapa penduduk yang dilitupi debu melarikan diri menuju ke pusat-pusat penempatan sementara dengan menaiki kereta dan motosikal.
Seorang lelaki berusia 60 tahun yang dikenali sebagai Sunar berkata, rumahnya runtuh selepas dihujani batu-bata bersaiz sebesar penumbuk.
Dia tinggal di sebuah kampung yang terletak lapan kilometer dari gunung berapi berkenaan dalam daerah ini.
"Rumah kami bergegar seperti kapal di lambung ombak. Kami melarikan diri dan dapat melihat lahar mengalir ke sebuah sungai tidak jauh dari kediaman itu," cerita Sunar.
Seorang lelaki dan wanita warga emas mati dihempap rumah mereka yang runtuh selepas tidak dapat menampung beban batu gunung berapi yang melitupi bumbung kediaman tersebut.
Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, kejadian itu berlaku di daerah kecil Malang manakala seorang lelaki warga emas lain meninggal dunia akibat terhidu abu gunung berapi.

AFP
DUA orang menyaksikan Gunung Kelud meletus dari bandar Kediri di Jawa Timur semalam.


"Gunung Kelud meletus seperti pertunjukan bunga api. Kedengaran bunyi dentuman kuat dan cahaya-cahaya merah naik ke udara," kata seorang penduduk berusia 32 tahun di Daerah Blitar, Dian Julihadi.
Nugroho mengesahkan bahan gunung berapi masih menghujani beberapa buah kampung dalam lingkungan 15 kilometer dari lokasi letusan setakat semalam.
Namun, katanya, beberapa aktiviti di kawasan sekitarnya kembali seperti biasa.
Sekitar 200,000 orang telah diarah berpindah namun sebahagian keluarga tidak mengendahkan arahan tersebut dengan sebilangan lagi kembali ke kediaman masing-masing.
"Kini terdapat lebih 75,000 orang di beberapa pusat penempatan sementara," kata Nugroho.
Menurutnya, sejumlah lelaki yang cuba kembali ke rumah mereka untuk mengambil pakaian dan barangan berharga terpaksa berpatah balik akibat hujan debu gunung berapi yang masih berterusan.
Gunung berapi yang setinggi 1,731 meter itu mula meletus pada pukul 10.50 malam kelmarin menyebabkan ribuan penduduk yang tinggal berhampiran melarikan diri. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2tL2I69GH 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment