Pages

Friday, January 17, 2014

RIWAYAT HIDUP AL HASAN AL BASRI


Hasan Al Basri nama penuhnya ialah ; Abu Sa'id al-Hasan ibn Abi-Hasan Yasar al-Basri. dilahirkan di Madinah pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab pada tahun 21 Hijrah (642 Masihi). Ibunya bernama Khairah merupakan seorang bekas hamba kepada isteri Nabi Muhammad saw (Ummu Mukminin) yang bernama Hindun binti Suhail atau lebih dikenali sebagai Ummu Salamah.

Ummu Salamahlah yang memberi nama Al Hasan. Beliau adalah seorang wanita Arab yang cerdik dan sangat berilmu. Ummu Salamah adalah diantara segelintir kecil kaum wanita yang celik huruf dan telah meriwayatkan sehingga 387 buah hadis. Beliau adalah ibu susuan Al Hasan

Ayahnya bernama Yasar merupakan bekas hamba kepada Zaid bin Thabit, seorang penulis wahyu Rasulullah saw. Al Hassan membesar dan dididik dirumah Ummu Salamah dan rapat dengan kesemua Ummu Mukminin (isteri Rasulullah) kerana rumah-rumah mereka berdekatan.

Al Hasan menerima hadis daripada Othman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Abu Musa al Ash’ari, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Anas bin Malik, Jabir bin Abdullah dan ramai lagi. Ali bin Abi Talib merupakan idola Al Hasan yang kuat pegangan agama, kesempurnaan ibadah, kezuhudan menjauhi segala kesenangan dunia, kepetahan, kebijaksanaan, kefasihan dan tunjuk ajar yang mampu menyentuh hati manusia. Al Hasan cuba mencontohi segala akhlak, ketaqwaan dan ibadah Ali bin Abi Talib.

Pada umur 14 tahun mengikuti ayahnya berpindah ke Basrah dan menetap di sana. Dengan ini namanya dikaitkan dengan Basrah dan dikenali dengan Al Hasan Al Basri.

Beliau mempelajari tafsir, hadis dan qiraat Abdullah bin Abbas. Beliau juga mendalami ilmu fikah, bahasa dan sastera daripada sahabat lain.

Al Hasan menjadi ilmuan dan seorang fakih yang terkenal dan dipercayai. Beliau dapat melembutkan hati dan mampu membuat air mata masyarakat berlinangan.

Maslamah bin Abdul Malik merupaka jiran Al Hasan di Basrah, memceritakan mengenai Al Hasan; Hasan sama luar dan dalamnya. Ucapannya selari dengan perbuatannya. Apabila mengajak manusia kepada kebaikan beliaulah yang pertama melakukannya. Apabila melarang manusia melakukan kejahatan beliaulah yang pertama yang meninggalkannya. Beliau zuhud, menjauhi daripada mengambil segala yang ada di tangan manusia lain. Manusia amat mengharapkanya dan sentiasa meminta apa yang ada padanya.

Al Hajjaj bin Yusuf Al Thaqafi pemerintah Iraq yang zalim pernah ditegur kezalimannya oleh Al Hasan. Beliau juga melarang Al Hijjaj membina bangunan-bangunan mewah. Al Hijjaj marah dan ingin memenggal kepala Al Hasan. Setelah dihadapkan kepada Al Hijjaj, Al Hasan membaca doa,” Wahai Tuhanku yang memberikan nikmat dan menjadikan tempat aku berlindung ketika menghadapi malapetakaku, jadikanlah kejahatannya itu sejuk dan selamat untukku seperti mana Engkau jadikan api itu sejuk dan selamat unuk Ibrahim.”

Al Hijjaj terasa gementar dan mempersilakan Al Hasan duduk sambil bertanyakan beberapa masalah agama dan dijawab Al Hasan dengan tabah dan di hurainya sehingga mendalam. Al Hijjaj berkata, “Engkau adalah pemimpin ulama” sambil menghadiahkan Al Hasan minyak wangi.

Banyak kisah-kisah yang menceritakan pengalaman Al Hasan Al Basri ketika berhadapan dengan para pembesar dan pemimpin. Beliau semakin dihormati apabila berhadapan dengan mereka. Hasan menjadi guru di Basrah, (Iraq) dan menubuhkan madrasah di sana. Antara pengikutnya yang terkenal adalah Amr ibn Ubayd dan Wasil ibn Ata, pengasas mazhab Muktazilah.

Hasan adalah penyokong kuat nilai tradisional (orthodox) dan cara hidup zuhud. Menurut beliau takut adalah asas kepada moral dan kesedihan adalah ciri agama; kehidupan hanyalah perjalanan untuk ke akhirat, dan kesenangan hendaklah dinafikan untuk menewaskan nafsu. Hasan al-Basri juga dipandang tinggi oleh ahli sufi kerana sikap zuhudnya. Walau bagaimanapun, beliau bukanlah seorang sufi.

Hasan dikenali sebagai seorang yang suci jiwanya menyamai para sahabat. Dalam politik, beliau menentang sistem pewarisan khalifah dalam dinasti Umayyah tetapi percaya kepada pemilihan khalifah.

Al Hasan meninggal dunia pada usianya 80 tahun pada hari Jumaat di awal bulan Rejab pada tahun 110H, 728 Masihi di Basrah, Iraq. Selepas solat Jumaat jenazahnya disembahyangkan dan seluruh penduduk Basrah mengiringi jenazahnya sehingga di masjid Basrah tidak didirikan solah Asar berjemaah. Al Hasan Al Basir telah berjaya mengisi dunia dengan limpahan ilmu, kata nasihat yang menyentuh hati dan mampu menintiskan air mata.
sumber

No comments:

Post a Comment