Pages

Monday, January 6, 2014

Ritual kesyukuran budaya Sunda

TARIAN kesenian masyarakat Sunda turut dipersembahkan kepada
 orang ramai yang hadir memeriahkan acara adat Serentaun.

HIDUP masyarakat Indonesia yang terdiri daripada pelbagai suku dan keturunan kukuh bersendikan adat.
Bangsa ini sangat teguh melestarikan kebudayaan yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.
Kepada masyarakat Sunda di Kampung Sindangbarang, daerah Taman Sari, Bogor, Jawa Barat misalnya, setiap kali tibanya musim menuai padi, ia merupakan hari yang sangat istimewa buat mereka.
Acara yang dikenali sebagai Serentaun di kalangan masyarakat Sunda amat penting untuk diraikan secara besar-besaran.
Baru-baru ini, di Kampung Sindangbarang, kemeriahan upacara Serentaun diadakan penuh tradisi.
Belasan lelaki berbaju hitam berbaris rapi sambil memikul gabah (biji padi yang belum diproses menjadi beras) dan berjalan sambil diiringi permainan alat muzik tradisional Sunda.
Sementara di belakang lelaki-lelaki itu pula, ratusan warga lain menuruti mereka dengan membawa tandu berisi pelbagai hasil pertanian yang diambil dari sawah dan kebun.
Tidak ketinggalan, ribuan anggota masyarakat leka menyaksikan acara itu di sepanjang jalan yang dilalui.
Untuk memberikan pemahaman yang mudah kepada pembaca, acara Serentaun sering disamakan dengan sambutan 'Thanksgiving' yang disambut oleh masyarakat di Barat.
Serentaun yang diwarisi masyarakat Islam Sunda ialah untuk menyatakan rasa syukur kepada Allah atas limpahan rezeki melalui hasil-hasil pertanian mereka.
Memandangkan acara Serentaun semakin jarang diadakan, maka sambutan yang diadakan di Kampung Sindangbarang baru-baru ini menarik perhatian ribuan orang untuk menyaksikannya termasuk pelancong asing.
Selain di Kampung Sindangbarang, Bogor, tiga daerah lainnya di tanah Pasundan (wilayah tempat asal Suku Sunda) yang secara rutin masih menganjurkan acara Serentaun ialah di Desa Cigugur di Kabupaten Kuningan, Desa Ciptagelar di Sukabumi, dan Desa Cisungsang di Lebak.
Masyarakat Sunda di daerah-daerah tersebut menganjurkan acara tersebut pada setiap bulan Muharam dalam kalendar Islam.
Menurut Ketua Adat Kampung Sindangbarang, Akhmad Mikami Sumawijaya, acara Serentaun di kampung tersebut juga pernah melalui era yang gelap apabila tiada sebarang penganjuran dibuat selama 36 tahun.
Katanya, keadaan itu berlaku kerana, selepas pemimpin adat sebelum beliau meninggal dunia, tidak ada mana-mana individu yang mahu mengambil inisiatif meneruskan acara tradisi masyarakat Sunda itu.
"Namun sejak 2004 setelah saya dipilih sebagai pemimpin adat, Serentaun kembali kami rayakan. Kami tidak ingin adat yang telah ada sejak awal abad ke-12 ini hilang begitu saja," kata Akhmad membuka cerita.
Akhmad berkata, Serentaun tidak sekadar acara tahunan, sebaliknya, ia merupakan ruang untuk masyarakat Sunda mengeratkan silaturahim selain mengajak generasi muda supaya mencintai budaya.
Pada acara itu juga, kesemua hasil pertanian akan dibawa dan diletakkan di alun-alun atau lapangan kampung tersebut.
Sebaik perjalanan membawa hasil pertanian itu berakhir, Akhmad bersama para sesepuh adat lain dan seluruh masyarakat Sunda Kampung Sindangbarang akan sama-sama berdoa memohon kesejahteraan.
Selanjutnya, secara berganti-ganti, Akhmad dan sesepuh adat lain memasukkan gabah kering ke dalam rumah tradisional Sunda yang dijadikan sebagai lumbung (setor simpanan).
Gabah-gabah yang disimpan itu merupakan simbol persediaan bahan makanan untuk tempoh setahun akan datang.
Ketika gabah-gabah dimasukkan ke dalam lumbung, orang ramai berebut-rebut menikmati hasil pertanian yang dibawa oleh petani.
Ketika ini, wajah-wajah kegembiraan terpancar pada muka warga yang memeriahkan acara Serentaun.
"Perbuatan merebut-rebut hasil pertanian pula membawa simbol bahawa hasil pertanian yang ada di desa juga dirasakan oleh seluruh warga," kata Akhmad lagi.
Kebahagiaan orang ramai masih belum berakhir kerana di satu sudut lain, kumpulan kesenian akan menghiburkan mereka dengan tarian-tarian tradisional masyarakat Sunda dan antara kesenian yang menarik perhatian ialah tarian Jaipong.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140105/lu_03/Ritual-kesyukuran-budaya-Sunda#ixzz2pZRPiHg1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment