Pages

Friday, January 24, 2014

Rezeki daging biawak


Jakarta: Aroma rempah ratus yang terbit daripada daging panggang memenuhi ruang udara di sebuah warung tepi jalan di perkampungan Jajag, kira-kira 40 kilometer dari Banyuwangi, Jawa Timur.

Namun ada sesuatu yang agak berbeza dalam makanan dihidangkan pemiliknya yang menghidangkan daging pelbagai jenis reptilia khususnya biawak.


Pemilik warung itu, Rudi, 29, membuka gerainya sekitar waktu maghrib setiap hari sehingga lewat malam bersama isterinya Ratih, 25.



Setiap hari, Rudi dan Ratih menyiapkan daging biawak untuk dimasak selepas membeli haiwan itu daripada pemburu dengan harga Rp10,000 (RM2.80) seekor.


Sebanyak 15 biawak seberat tiga kilogram (kg) disembelih setiap hari - proses yang banyak kali menyebabkannya digigit atau dicakar haiwan berkenaan.


“Biawak sukar diperoleh pada musim kering kerana ketika itu haiwan berkenaan jarang meninggalkan sarangnya.

Foto
RUDI meraih keuntungan menjual daging biawak yang dimasak dengan pelbagai cara.
Foto
ISTERI Rudi, Ratih membakar sate biawak.

“Ia lebih mudah ditangkap ketika musim hujan,” katanya.


Kepala, usus dan anggota badan biawak dijadikan bahan makanan ikan keli manakala daging, hati dan tulang haiwan itu dimasak dengan cara berbeza yang dijual dengan harga kira-kira Rp25,000 (RM7) bagi setiap hidangan.

Kulit haiwan itu dibakar menjadi keropok, namun bahagian lain lebih berharga.


Hempedu reptilia yang dikeringkan dipercayai berguna untuk perubatan tradisional terutama bagi merawat darah tinggi dan kencing manis, malah mampu meraih keuntungan sehingga Rp900,000 (RM249) sekilogram.


Kulit biawak juga dipercayai mampu mengubati penyakit berkenaan selain elok untuk merawat penyakit kulit.


Pelanggan setianya Haryati, 49, mendakwa hidangan daging biawak berkenaan membantu mengawal penyakit kencing manis dihidapinya.


“Saya datang makan di sini dua kali seminggu bersama keluarga untuk makan sate selain mendapatkan hempedu kering,” katanya ketika ditemui.


Seorang lagi pelanggan, Nasir berkata, penyakit kulitnya semakin sembuh selepas mula memakan daging biawak.


“Seorang rakan yang mengajak saya makan di sini dan kini saya datang seminggu sekali.


“Alahan saya terhadap telur dan susu berkurangan selepas mengamalkan makan daging ini,” katanya.


Pelanggannya datang dari dekat dan jauh, termasuk Jakarta, Semarang malah ada juga dari Bali. Ada antara mereka datang sebulan sekali untuk menikmati daging biawak itu.


Sementara itu, Rudi berkata dia akan teruskan perniagaannya selagi biawak boleh diperoleh.


“Lagipun itu saja cara saya boleh meraih pendapatan untuk menyara keluarga saya,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

No comments:

Post a Comment