Pages

Tuesday, January 21, 2014

Pantai Jurassic jadi tumpuan


Sebahagian daripada pencari harta karun membanjiri pantai Jurassic di Dorset, Britain, berikutan penemuan fosil reptilia marin (gambar kecil) bernilai RM81,517 baru-baru ini. - Agensi
LONDON 20 Jan. - Pantai Jurassic di Dorset, Britain kini dibanjiri ratusan pencari harta karun, selepas penemuan fosil reptilia marin gergasi bernilai 15,000 pound (RM81,517) di sebuah pulau itu pada Boxing Day, baru-baru ini.
Pencari harta karun yang datang dari seluruh dunia itu mencari fosil sepanjang hari di pulau tersebut yang terletak di tapak warisan dunia sepanjang 154 kilometer yang mendapat nama sempena cenuram di situ yang terbentuk sejak 180 juta tahun dahulu.
Rangka ichthyosaur yang hampir sempurna itu ditemukan seorang pengumpul, Alan Saxon, dari Chippenham dekat daerah Wiltshire yang sedang dalam lawatan ke pulau itu selepas Krismas.
Fosil berukuran 1.5 meter itu ditemukan selepas ribut kuat melanda kawasan pantai berkenaan sebelum ia dijumpai di kaki cenuram Black Ven berhampiran perkampungan Charmouth.
Fosil reptilia marin gergasi itu berjaya dikeluarkan selepas lebih lapan jam dan usaha tersebut turut dibantu pencari fosil profesional, Paul Crossley yang menyifatkannya sebagai ‘penemuan luar biasa’.
Crossley ketika ditemubual BBC berkata, bandar pesisir pantai Lyme Regis di Dorset Barat buat masa ini menjadi tumpuan utama pemburu fosil dengan lebih ramai orang membanjiri pantai itu berbanding hari biasa.
“Kami sering menasihati pencari harta karun supaya datang ke pantai ketika air surut dan sentiasa berhati-hati dengan cenuram serta lumpur,’’ katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140121/lu_09/Pantai-Jurassic-jadi-tumpuan#ixzz2qyZuHRma
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment