Pages

Monday, January 13, 2014

Matinya sang penyembelih

Baitulmaqdis: Berita kematian bekas Perdana Menteri Israel Ariel Sharon kelmarin mendapat reaksi sekata daripada pemimpin dan media Arab.
Tidak seperti kelaziman, kematian Sharon diraikan banyak pihak. 
Ia bukanlah aneh jika melihat kepada pelbagai kejahatan dan kezaliman pernah dilakukannya sebelum ini. Agensi berita Safa melaporkan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza secara terbuka meraikan kematian Sharon, malah penduduk Khan Younis dilihat berpesta sambil membakar gambar Sharon dan berkongsi manisan.

Pelbagai ulasan menampakkan kebencian masyarakat Arab dan Palestin terhadap Sharon yang memegang jawatannya selama lima tahun bermula 2001.
Foto
SHARON bersama bekas Menteri Pertahanan Moshe Dayan (kiri) dengan kepalanya dibalut akibat cedera ketika Peperangan Enam Hari pada Jun 1967.

Hamas - yang berjaya mengambil alih Semenanjung Gaza pada 2007, dua tahun selepas Sharon menarik balik tentera serta peneroka Israel - menganggap kematian bekas jeneral dan ahli politik itu ‘bersejarah’.

Berikut adalah antara reaksi mengenai kematian Sharon:

Khalil al-Haya (Hamas): “Tamatlah riwayat penjenayah yang tangannya dipenuhi darah Palestin.

“Nyata selepas lapan tahun dia tidak terlepas daripada takdirnya, samalah seperti penjenayah dan pemerintah kuku besi lain.”


Jibrail Rajoub (Pegawai kanan Fatah): “Saya kecewa kerana kematiannya bererti Sharon ‘mengelak’ dihadapkan ke tribunal antarabangsa bagi setiap kesalahan kemanusiaan dilakukannya termasuk kematian bekas Presiden Palestin Yasser Arafat.”


Dr Mustafa Barghouti (Pegawai Pertubuhan Pembebasan Palestin): “Kematian tidak sepatutnya diraikan. Malangnya Sharon tidak meninggalkan apa-apa kenangan manis untuk masyarakat Palestin.

“Dia memilih jalan peperangan selain bersikap agresif tanpa mempedulikan langsung perdamaian dengan Palestin.”


Wael Abu Faour (Menteri Hal Ehwal Sosial Lubnan: “Saya tidak meraikan kematian Sharon, namun dia penjenayah yang hidup atas kesengsaraan dan kematian jutaan manusia tidak berdosa.”

“Dengan kematiannya boleh dikatakan sedikit kejahatan di dunia ini juga terhapus.


Mohammed el-Srour (Penduduk Sabra): “Saya kecewa kerana sudah lama mengharapkan dia mati dibunuh budak atau perempuan Palestin yang menjadi mangsa Zionis sebagai balasannya membunuh ribuan kanak-kanak dan wanita kami.


Human Rights Watch (Pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa): “Sayangnya Sharon meninggal dunia tanpa balasan atas jenayah peperangan yang dilakukannya, selain pembabitannya dalam kejadian pertumpahan darah di kem pelarian Sabra dan Shatila pada September 1982.


Di Twitter satu mesej yang dikaitkan dengan Hamas turut mengucapkan “Selamat tinggal kepada penyembelih Sabra dan Shatila.”


Yousef Munayyer (Pengarah Eksekutif Pusat Palestin di Washington): “Sharon hanya meninggalkan kenangan buruk kemusnahan, kekejaman dan jenayah perang.”


Hussein Ibish (Pasukan Petugas Amerika Untuk Palestin): “Bagi kebanyakan masyarakat Arab, Ariel Sharonlah Yahudi yang paling sinonim dengan keganasan dan peluasan kuasa Israel.

“Sebut saja namanya kita terbayang pembunuhan paling dahsyat, penaklukan kuasa peneroka melampau selain provokasi paling ekstrim terhadap Palestin.


Agensi Berita Ma’an Palestin: “Gelaran “bulldozer” (jentolak) memang sesuai untuk Sharon yang hanya diingati kerana peranannya dalam pembunuhan dan penindasan warga Palestin selama beberapa dekad.”


Nabil al-Halafwi (Pelakon Mesir): “Sharon sudah lama meninggal dunia, cuma hari ini dia menghadap Pengadilan.”


Khayri Ramadan (Pembaca berita Mesir): “Si pembunuh Ariel Sharon mati hari ini dan namanya boleh dibakulsampahkan saja sebagai balasan kekejamannya terhadap saudara kita di Palestin dan Lebanon.

Sementara itu, agensi berita Wafa tidak langsung menyiarkan berita mengenai kematian Sharon.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

No comments:

Post a Comment