Pages

Thursday, January 16, 2014

Ikan paus hidup terdampar di Bintulu

Ikan paus hidup terdampar di Bintulu16 Januari 2014
 BINTULU - Seekor ikan paus yang masih hidup ditemui terdampar di pantai Kuala Tatau awal pagi semalam oleh sebuah keluarga ketika mereka sedang berjalan-jalan di pantai berkenaan.

Rosmiros Mesral, 50, berkata beliau dan keluarganya mendapati ikan paus itu terdampar di tepi pantai dan tidak bergerak.

"Pada mulanya saya tak sangka objek besar itu ikan paus tetapi bila mendekati objek itu, saya dapati ia seekor ikan paus dan saya terus panggil suami serta anak-anak saya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ibu kepada tiga anak itu berkata ikan paus itu mula bergerak selepas anak lelakinya menyiram air di kepala mamalia berkenaan.

"Ekor ikan paus mula bergerak dan saya sekeluarga terkejut melihat di mata ikan paus itu ada air mata mengalir.

"Simpati dengan keadaan ikan paus itu, kami sekeluarga cuba menolaknya supaya dapat ke laut semula tetapi mengalami kesukaran, namun sekitar jam 11 pagi, ikan paus itu dapat ditolak ke laut semula," katanya.

Rosmiros menyifatkan kejadian itu sebagai ganjil kerana belum pernah ada kejadian ikan paus terdampar di pantai Kuala Tatau sebelum ini.

"Saya dilahirkan di Bintulu, dan ini kali pertama kejadian pelik ini berlaku, mungkin faktor cuaca dan keadaan laut menyebabkan ikan paus itu terdampar," katanya.

Berita penemuan ikan paus itu tersebar luas di media sosial sejak semalam sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan penduduk tempatan.

Antara lain, kebimbangan kemungkinan berlaku tsunami dan ada juga yang mengaitkannya dengan fenomena semasa musim tengkujuh. - Bernama

No comments:

Post a Comment