Pages
▼
Friday, March 8, 2013
Dua amah jadi jutawan
Jeddah: Dua wanita Indonesia yang datang ke Arab Saudi untuk bekerja sebagai pembantu rumah menjadi jutawan selepas mewarisi jutaan riyal daripada suami masing-masing yang sudah meninggal dunia.
Lelaki Saudi terbabit mulanya mengambil mereka sebagai pembantu rumah tetapi kemudian mengahwini mereka.
Seorang daripada wanita itu yang menetap di Riyadh, menerima SR5 juta (RM4.1 juta) minggu lalu sementara dalam satu lagi kes, wanita yang berkahwin dengan hartawan hartanah menerima SR20 juta (RM16.4 juta) baru-baru ini selepas sebuah mahkamah Taif mengarahkan waris jutawan itu membayarnya jumlah berkenaan.
“Kedua-dua wanita itu menerima bahagian kekayaan suami masing-masing menerusi sistem undang-undang Syariah yang dilaksanakan di negara ini,” kata jurucakap kedutaan Indonesia di Riyadh, Shabda Thian.
Beliau bagaimanapun enggan menyebut nama kedua-dua wanita itu.
“Banyak lagi cerita positif mengenai Tenaga Kerja Indonesia di Arab Saudi, bukan setakat penderaan yang sering dilaporkan,” katanya.
Dalam kes pertama, wanita terbabit tiba di Saudi 11 tahun lalu untuk bekerja dengan jutawan hartanah, Ali Ayami di Taif. Mereka berkahwin dua tahun selepas itu.
Perkahwinan mereka tidak berpanjangan kerana lelaki itu meninggal dunia dan meninggalkan beberapa keping tanah serta bangunan apartmen di Taif.
Wanita Indonesia itu menetap di Arab Saudi sehingga dia memperoleh harta peninggalan suaminya itu.
“Dia sudah menerima SR20 juta (RM16.4 juta) dan menanti kira-kira SR90 juta (RM73.8 juta) lagi hasil daripada jualan harta suaminya,” kata satu sumber yang enggan dikenali.
Menurut Shabda, wanita kedua yang berusia 45 tahun mewarisi SR6.3 juta (RM5.17 juta) selepas suaminya meninggal dunia beberapa bulan lalu. Wanita itu sebelum ini bekerja sebagai tukang jahit untuk lelaki itu yang memiliki dan mengendalikan sejumlah besar kedai mainan di Riyadh, ‘ Al-Sogel Toys.’ “Mereka hidup bersama kira-kira 10 tahun sebelum suaminya meninggal dunia pada 2010,” kata Shabda.
Menurutnya, pihak kedutaan bekerja rapat dengan beberapa pihak, termasuk keluarga si mati untuk menyelesaikan tuntutan harta itu. - AN
Imej UFO dirakam Crowe dibincang dengan meluas
SYDNEY - Gambar objek terbang tidak dikenali (UFO) yang dirakamkan oleh aktor terkenal Hollywood, Russell Crowe dibincangkan dengan hangat di internet, lapor akhbar The Sydney Morning Herald semalam.
Crowe sebelum ini menyatakan imej UFO itu dirakamkan di luar pejabatnya di sini.
Klip video yang disiarkan di laman perkongsian sosial YouTube menunjukkan objek berwarna merah dengan cahaya berwarna kuning melintasi luar tingkap pejabatnya.
Akhbar New York Post turut melaporkan bahawa Crowe memuat naik video itu kerana dia mungkin percaya tentang makhluk asing.
Imej itu menyebabkan isu sama ada terdapat makhluk asing yang telah mendarat di Sydney dibincangkan dengan meluas di internet.
Bagaimanapun, beberapa pakar video dan gambar menyatakan imej tersebut sebenarnya sebuah bot.
Seorang pengguna YouTube memberi komen objek tersebut kelihatan ganjil kerana terdapat teknik muslihat fotografi telah digunakan.
Bagaimanapun, menurut akhbar The Sydney Morning Herald yang memetik agensi berita AAP, Crowe membuat kenyataan di Twitter bagi mempertahankan imej tersebut.
"Saya tidak mengetahui apakah sebenarnya, tetapi menganggap gambar itu sebagai palsu merupakan kebodohan," katanya.
Menurut Crowe, imej itu kelihatan semasa dia mahu merakamkan gambar kelawar keluar dari Taman Botani.
Pelakon berusia 48 tahun dari Australia itu terkenal menerusi filem Gladiator dan Les Misérables. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0308&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2MtssL2qt
Hakcipta terpelihara
Gunung Berapi Tangkuban Perahu di Jawa Barat dipantau saintis
JAKARTA - Beberapa saintis Indonesia menyatakan mereka memantau dengan teliti sebuah gunung berapi aktif di Pulau Jawa dan menggesa penduduk kampung dan pelancong tidak menghampiri kawasan itu.
Seorang pakar gunung berapi Indonesia, Hendra Gunawan semalam berkata, Gunung Tangkuban Perahu di wilayah Jawa Barat itu memuntahkan debu dan asap hampir 500 meter ke langit sejak Isnin lalu.
Amaran tentang gunung itu kini berada pada tahap kedua tertinggi.
Bagaimanapun, gunung berapi itu tidak mengeluarkan lahar dan tidak memberi ancaman ke atas kampung serta pekan berhampiran.
Namun, pihak berkuasa menasihatkan para pelancong agar berada 1.5 kilometer dari kawah kerana khuatir gunung berapi tersebut mengeluarkan gas yang beracun.
Gunung Tangkuban Perahu yang memiliki ketinggian 2,084 meter merupakan antara lokasi tarikan pelancong terkenal di Pulau Jawa.
Kali terakhir ia meletus adalah pada tahun 1983. - AP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0308&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2MtsYAdqd
Hakcipta terpelihara
Arnoud van Doorn kini beragama Islam
AMSTERDAM 6 Mac - Bekas anggota Parti Kebebasan, yang berhaluan kanan dan berfahaman anti-Islam Belanda, Arnoud van Doorn (gambar), mengejutkan ramai pihak dengan mengumumkan dia telah memeluk Islam baru-baru ini.
Van Doorn yang juga merupakan rakan karib pemimpin parti itu, Geert Wilders, sebelum ini pernah mengakui dia keluar daripada parti tersebut pada penghujung 2011.
Menurutnya, dia mahu melakukan perubahan dengan mengumumkan keputusannya kepada dunia melalui pengucapan kalimah Syahadah yang dimuat naik dalam laman Twitter miliknya.
"Tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah," katanya dalam laman sosial itu.
Van Doorn turut mengumumkan dalam bahasa Belanda bahawa dia kini 'memulakan kehidupan baharu sebagai seorang Islam.'
Dalam wawancara bersama Al-Jazeera.net, van Doorn mengesahkan berita mengenai tindakannya itu.
"Sesiapa yang mengenali saya secara dekat boleh meneka keputusan saya. Lebih setahun saya mendalami Islam melalui buku dan ceramah.
"Ramai yang terkejut dengan keputusan ini, terutama mereka yang tahu mengenai pendirian anti-Islam saya," katanya.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas dia mendalami Islam tanpa paksaan.
"Kita semua pernah melakukan kesilapan. Namun, saya melihat setiap pengalaman hidup ada sebab yang tersendiri dan pengalaman saya sangat berkait rapat dengan keputusan saya," katanya. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130307/lu_05/Arnoud-van-Doorn-kini-beragama-Islam#ixzz2Ms6O5OiP
© Utusan Melayu (M) Bhd